Saturday, May 30, 2009

BAUAN TIDAK MENYENANGKAN PADA DINIHARI DI KAWASAN JALAN PADI HUMA

.
Saya mendapat aduan dari penduduk di kawasan Jalan Padi Huma, Bandar Baru Uda terutama di Jalan Padi Huma 9 hingga 14 mengenai gangguan bau yang tidak menyenangkan yang berlaku pada setiap awal dinihari sehingga matahari terbit.

Mereka mengatakan bahawa berkemungkinan terdapat kilang-kilang di sekitar Jalan Tahana yang telah melepaskan bahan buangan sehingga menyebabkan pencemaran alam sekitar pada awal pagi untuk menyukarkan dikesan oleh pihak yang berwajib.

Mengikut aduan, kejadian ini akan berlaku pada setiap hari Sabtu, Ahad dan hari-hari kelepasan. Ianya tidak berlaku pada hari-hari biasa.

Diharapkan Jabatan Alam Sekitar membuat siasatan dan mengambil tindakan sewajarnya kerana ia telah berlaku sejak lebih dari 5 tahun lalu.


Thursday, May 28, 2009

CADANGAN MENGURANGKAN KEMALANGAN DI BANDAR BARU UDA

.
Mengikut laporan kemalangan bulan April 2009 yang dikeluarkan oleh Cawangan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah Johor Bahru Utara menunjukkan kemalangan yang berlaku di Bandar Baru Uda menunjukkan yang tertinggi (16 kemalangan) di jalan bandaran atau kawasan taman-taman perumahan.

Selain itu, kemalangan di Km 9 di Jalan Skudai (berhadapan Bandar Baru Uda) juga menunjukkan sebanyak 14 iaitu kedua tertinggi selepas Km 10 (18 kemalangan).

Saya berpendapat diantara faktor yang menyumbang kemalangan di Bandar Baru Uda:-

- Kedudukan jalan keluar dari Jalan Padi ke Jalan Skudai agak curam menurun dan tidak begitu lebar.

- Jalan sehala Padi Mahsuri agak lebar memanjang dari Kg Muafakat ke persimpangan Jalan Padi Emas dan terdapat beberapa simpang.

Saya telah mencadangkan di dalam Mesyuarat Jawatankuasa Lalulintas pada bulan Mei agar perkara berikut dilakukan:-

- Membina jalan alternatif dengan mengambilkira jalan susur sediaada di hadapan stasion Petronas iaitu bagi jalan keluar masuk Jalan Padi ke Jalan Skudai.

- Membina dan menyambung pembahagi jalan sediaada dari Jalan Tampoi ke persimpangan Jalan Padi Emas dan diteruskan hingga ke Kg Muafakat.

Majlis Bandaraya hendaklah membuat kajian atas kedua-dua cadangan tersebut yang bertujuan untuk mengurangkan kemalangan jalanraya.

MASALAH DI FLAT LEDANG

Merbahaya .. penutup lubang tangki kumbahan yang hilang

Tong sampah tidak dapat digunakan kerana terbakar
atau mungkin dibakar

Masalah yang ketara di Flat Ledang, Bandar Baru Uda sekarang adalah kutipan bayaran oleh pemilik rumah kepada Uda Urus Sdn Bhd iaitu badan pengurusan yang diberi tanggungjawab menguruskan penyelenggaraan di flat ini. Pemilik rumah mempunyai banyak tunggakan dan ini menyebabkan Uda Urus SB tidak dapat membuat penyelenggaraan dengan sempurna.

Penutup lubang tangki kumbahan yang pecah dan tong mengumpul sampah yang terbakar tidak dapat diganti atau diperbaiki disebabkan dana yang terhad atau mungkin tidak mencukupi.

YB Hj Adam Sumiru telah berjanji untuk membantu mengganti penutup lubang dan tong sampah. Ketua UMNO Cawangan perlu mendapatkan sebutharga dan akan dimajukan kepada ADUN Tanjung Puteri.

Bagaimanapun, sesuatu tindakan perlu diambil untuk memastikan semua pemilik rumah dapat membayar yuran bulanan dan tunggakan agar segala kerja penyelenggaraan dapat berjalan dengan sempurna.

TAMAN PERMAINAN FLAT LEDANG PERLU TAMBAHAN ALAT PERMAINAN

Ketika mengadakan gotong royong di kawasan flat Ledang, Sdr. Azmi Tuganal, Ketua UMNO Cawangan telah meminta supaya alat-alat permainan dapat diperbanyakkan di kawasan taman yang ada.

Alat permainan yang ada sekarang tidak dapat menampung keperluan kanak-kanak yang bermain terutama di waktu petang.

Memandangkan kedudukan kawasan lapang yang masih ada, saya percaya pihak Majlis Bandaraya boleh mengadakan dan menambah alat-alat permainan yang diperlukan.

GOTONG ROYONG DI FLAT LEDANG

Dato' Shahrir memberi arahan kerja

Pagi ahad lalu, penduduk Flat Ledang Bandar Baru Uda mengadakan program gotong royong membersihkan persekitaran perumahan mereka.

Program yang bermula pada jam 8:00 pagi dimulakan dengan ucapan-ucapan dari ketua penduduk, Pegawai Kesihatan Johor Bahru dan Dato' Shahrir Samad selaku Ahli Parlimen Johor Bahru.

Dari kiri, Azmi Tuganal, Dato' Shahrir,
Pegawai Kesihatan dan YB Adam Sumiru

Selepas ucapan-ucapan ringkas, semua yang hadir telah digerakkan untuk membuat kerja-kerja pembersihan di serata kawasan 254 unit rumah penduduk di kawasan berkenaan.

Peralatan seperti pungkis, cangkul, penyapu, garpu dan sebagainya yang disediakan oleh Southern Waste Management telah digunakan sepenuhnya selain lori-lori yang digunakan untuk mengangkut sampah dan barang buangan.

Ketika melakukan kerja-kerja gotong royong, kelihatan ramai penduduk yang turut sama seperti dari kaum bapa, ibu dan anak-anak.


Keseronokan bekerja begitu ketara terutama melihat Dato' Shahrir Samad yang terus melakukan kerja-kerja bahkan memberi arahan tentang kerja yang perlu dilakukan.

Kesungguhannya bekerja menyebabkan ramai penduduk yang mulanya hanya menjadi pemerhati terpaksa turun membantu.

Ketika matahari mula condong ke barat pada jam 1:00 petang, kerja gotong royong dihentikan apabila Dato' Shahrir beredar dari kawasan kerja.

Jam 1:00 petang Dato' Shahrir
meninggalkan kawasan gotong royong

TAMAN PERMAINAN TIDAK DISELENGGARA DENGAN MEMUASKAN

.
Saya mendapat aduan dari penduduk di kawasan Jalan Padi Ria mengenai taman permainan yang terletak di antara Jalan Padi Ria 15 dan Jalan Padi Ria 17 telah tidak diselenggara dengan memuaskan.

Terdapat banyak sampah sarap yang tidak dibersihkan termasuk dahan dan daun kering yang berlonggok.

Begitu juga dengan akar dari tunggul pokok akibat pokok tumbang telah tidak dibersih dan diratakan.

Laluan pejalan kaki untuk jogging juga licin dan berlumut dan ia amat merbahaya kepada pengguna terutama warga emas.

Ketika ini, mereka tidak lagi menggunakan kawasan ini untuk berjogging dan beriadah disebabkan perkara yang diadukan.




LONGGOKAN DAHAN DAN DAUN KERING PERLU DIBERSIHKAN

Longgokan di simpang Jalan Padi 4 dan Jalan Sekoi

Longgokan di Jalan Padi

Usaha penduduk mencantikkan kawasan persekitaran rumah masing-masing patut diberi pujian. Ini termasuklah kerja-kerja mencantas pokok yang rendang yang boleh menyebabkan kejadian yang tidak diingini berlaku apabila pokok tumbang dan sebagainya.

Bagaimanapun mereka sepatutnya membersihakan kawasan masing-masing dan tidak sepatutnya melonggokkan dahan yang telah dicantas di luar pagar rumah.

Saya berharap pihak Majlis melalui Southern Waste Management dapat membantu dengan membersihkan kawasan berkenaan.

BUANG TUNGGUL DAN BINA PEJALAN KAKI

.

Tunggul pokok yang telah ditebang di kawasan laluan pejalan kaki Jalan Jagong bersebelahan kedai dan Sekolah Kebangsaan Kompleks Uda perlu dibersih dan diratakan kerana ia sangat merbahaya kepada pengguna jalan raya.

Pembersihannya sangat diperlukan kerana laluan ini digunakan oleh murid-murid sekolah untuk pergi dan balik selain digunakan oleh orang ramai yang berurusan dengan sekolah dan kedai-kedai berhampiran.

Laluan pejalan kaki perlu dibina untuk mengelakkan kanak-kanak sekolah menggunakan jalan raya untuk mereka berjalan kaki berulang-alik dari rumah ke sekolah.

POKOK-POKOK YANG PERLU DITEBANG

.
Pokok rendang merosakkan permukaan jalan dan
merbahaya kepada pengguna jalan raya

Terdapat 3 batang pokok yang perlu ditebang kerana keadaannya yang rendang dan akarnya telah timbul di permukaan jalan. Ia sangat merbahaya kepada pengguna jalan raya dan merosakkan jalan.

Batang pokok yang genting dan boleh
tumbang pada bila-bila masa sahaja

Pokok yang dimaksudkan adalah di penghujung Jalan Padi 1 dan Padi 9. Sebatang pokok lagi terletak di Jalan Padi Mahsuri 1 dan pangkalnya telah genting kerana dibakar oleh individu yang tidak diketahui. Pokok ini boleh tumbang sekiranya ditiup angin kencang.

Sebatang pokok perlu ditebang kerana
melindung pemandangan mereka yang ingin keluar dari jalan ini

Terdapat sebatantg pokok lagi di pinggir Jalan Padi Mahsuri berdekatan dengan persimpangan Jalan Padi Mahsuri 1 yang boleh menyebabkan kemalangan disebabkan ia melindung penglihatan pengguna yang ingin keluar dari simpang Jalan Padi Mahsuri 1.

Friday, May 15, 2009

PENUBUHAN JAWATANKUASA PENAJA KRT FASA SATU BANDAR BARU UDA

.
Haji Abu Bakar Ibrahim
..... gaya seorang pemimpin

Sebentar tadi saya hadir ke majlis penubuhan KRT Fasa Satu Bandar Baru Uda disamping meraikan perlantikan saya sebagai Ahli Majlis Bandaraya Johor Bahru dan juga penghargaan kepada mantan Ahli Majlis, Tuan Haji Mohd Said Ibrahim.

Majlis yang diadakan di Dewan Raya Jalan Jagong 4 dihadiri oleh penduduk kawasan Fasa 1.

Perjumpaan ini telah bersetuju melantik Jawatankuasa Penaja KRT yang dipengerusikan oleh Sdr Abd Latif Kadiman dengan dibantu oleh Sdr Haji Mahmood Muyob.

Pemuda-pemuda di kawasan ini telah menubuhkan pasukan kompang dan dalam majlis ini pasukan ini telah menerima 10 buah kompang baru dan juga pakaian seragam.

Tahniah diucapkan kepada Tuan Haji Abu Bakar Ibrahim yang mengambil inisiatif menganjurkan majlis yang sangat bermakna kepada penduduk di kawasan terlibat.

Ketua Kumpulan Kompang

Ketua Pemuda

Penerimaan ahli baru

Terima kasih ......

Mereka yang hadir

Thursday, May 14, 2009

PROGRAM GOTONG ROYONG DI FLAT LEDANG

Malam tadi Sdr Azmi Tuganal, Ketua UMNO Cawangan Uda Ledang telah menghubungi saya meminta bantuan untuk mendapatkan khemah dan peralatan untuk kerja-kerja gotong royong dan perjumpaan dengan orang ramai yang akan diadakan pada 23 dan 24 Mei 2009.

Saya telah menghubungi Majlis Bandaraya Johor Bahru (LA21) dan telah diberitahu bahawa segala kelengkapan yang diperlukan tidak dapat dipenuhi kerana pada masa yang sama banyak majlis yang telah diaturkan lebih awal.

Peralatan gotong royong seperti penyapu, pungkis, cangkol, tong roro dan lain-lain boleh diusahakan dengan menghubungi syarikat pengendali kebersihan iaitu Southern Waste Management Sdn Bhd (SWM).

Untuk masa mendatang, sekiranya kita ingin mendapat bantuan dan Majlis Bandaraya hendaklah menghubunginya lebih awal.

KESALAHAN POSMAN MENGHANTAR SURAT DI BANDAR BARU UDA

Saya mendapat lapuran tentang kesalahan Posman menghantar surat di kawasan Bandar Baru Uda seperti meletakkan surat-surat di jeriji pintu pagar, meletakkan di atas kenderaan seperti kereta atau motosikal, menyelitkan di wiper kereta dan sebagainya.

Apa yang dimuskhilkan adalah di setiap rumah berkenaan telah sedia mempunyai peti surat dan tidak ada sebab mengapa surat-surat tidak dimasukkan ke dalamnya.

Saya percaya, pekerja pos ini ingin menghabiskan kerja dengan cepat dan mengambil mudah dengan meletakkannya di mana-mana sahaja.

Saya sendiri pernah mengalami perkara ini bahkan pernah berlaku surat yang diikat dengan getah gelang telah dibaling ke dalam pagar rumah. Mereka tidak mahu memasukkan ke dalam peti surat kerana mungkin surat yang agak banyak dan tebal.

Memandangkan tindakan yang dilakukan oleh pekerja pos ini adalah tidak wajar, maka pada hari ini saya telah menghubungi Pengurus Serahan JB3 di Larkin. Tuan Haji Abdul di pejabat berkenaan telah mengambil perhatian mengenai laporan yang saya buat.

Diharapkan kejadian seperti ini tidak akan berulang lagi kerana ia adalah satu pekerjaan yang tidak berethika selain boleh menyebabkan kehilangan dan kerosakan kepada surat-surat yang tidak dihantar mengikut prosedur yang betul.

Sunday, May 10, 2009

MERBAHAYA: BAIKI LALUAN PEJALAN KAKI INI

.



2 Gambar yang menunjukkan laluan pejalan kaki di Jalan Padi, Bandar Baru Uda nampak cantik dan kemas berbanding gambar di bawahnya.

Pembaikan laluan pejalan kaki tersebut telah siap sejak beberapa bulan lalu dan sebagai penduduk di Bandar Baru Uda tentulah kami ingin mengucapkan terima kasih kepada pihak Majlis Bandaraya yang berusaha memperbaiki kerosakan dan memberi kemudahan kepada pengguna jalan kaki.

Bagaimanapun, laluan pejalan kaki tersebut sangat merbahaya kerana bucunya begitu tajam dan tebingnya agak tinggi kerana pembaikannya dibuat dengan menambah beberapa inci lagi di bahagian permukaannya.

Tebing yang tinggi boleh menyebabkan kemalangan terutama penunggang motosikal yang sukar untuk mengelak dan tersangkut.

Lebih malang apabila seseorang yang terjatuh di kawasan ini dan bucu tajam laluan pejalan kaki ini akan menjadikan mangsa lebih parah dan mungkin boleh menyebabkan kematian.

Adalah diharapkan laluan pejalan kaki ini diperbetulkan semula dengan menghapuskan bucu yang tajam dan yang lebih penting adalah tindakan mengecatkan dengan warna yang lebih terang sebagaimana gambar ketiga yang tertera di atas.

LONGKANG PECAH DI HADAPAN RUMAH NO 87 JALAN PADI

.


Saya mendapat aduan dari Encik Mokhtar Khalid, pemilik rumah no 87, Jalan Padi, Bandar Baru Uda tentang longkang di hadapan rumahnya yang telah pecah yang memerlukan pembaikan.

Longkang tersebut juga kelihatan tidak dibersihkan oleh Southern Waste Management.

AKAR POKOK MEROSAKKAN PERMUKAAN JALAN: PERLU DITEBANG

.


Sebatang pokok di penghujung jalan Padi 1 dan Padi 9 berdekatan pondok Metro Parking terlalu rendang sehingga akarnya merosakkan permukaan jalan dan sangat merbahaya kepada pengguna jalanraya.

Keselamatan orang ramai perlu diberi keutamaan berbanding nilai sebatang pokok yang ditanam sejak dari tahun 1979 (30 tahun).

Kakilima jalan ini juga perlu diperbaiki supaya tidak kelihatan berlubang yang juga mengancam keselamatan pengguna.

PERLU BENDUL DI JALAN SEKOI

.

Gambar di atas menunjukkan keadaan Jalan Sekoi, Bandar Baru Uda dimana pemilik bangunan sepanjang jalan ini sangat memerlukan bendul dibina di jalan tersebut untuk mengelakkan pengguna kenderaan terutama motosikal yang menunggang dengan laju tanpa memperdulikan keselematan pengguna lain.

Adalah dicadangkan pihak Majlis Bandaraya Johor Bahru boleh membinanya di hadapan rumah no. 38.

Sebagai makluman, bersebelahan dengan deretan rumah di Jalan Sekoi ini adalah Sekolah Kebangsaan Kompleks Uda.

Pembenaan bendul akan mengelakkan dari kemalangan semasa kanak-kanak menggunakan jalan ini untuk pergi balik ke sekolah dan rumah.


ADUAN MENGUMPULKAN BAHAN KITAR SEMULA DI HADAPAN RUMAH MENYEBABKAN PEMBIAKAN TIKUS DAN PENCEMARAN

.
Pemandangan yang menyakitkan mata

Usaha beberapa orang penduduk di Bandar Baru Uda mengumpulkan bahan-bahan buangan untuk dikitar semula harus dipuji. Ini adalah kerana usaha kitar semula akan mengurangkan pencemaran disamping persekitaran menjadi lebih sihat dan bersih.

Bagaimanapun, usaha mereka disambut dengan cemuhan bantahan dari penduduk setempat kerana pemungut bahan buangan ini telah melonggokkannya di hadapan rumah yang menyebabkan ketidak selesaan terutama dengan bertambahnya tikus dan merosakkan pemandangan.

Gambar di atas yang diambil di rumah no. 22 Jalan Jagong Satu berhadapan dengan deretan kedai ternyata membenarkan dakwaan penduduk.

Diharapkan pihak berkuatkuasa Majlis Bandaraya Johor Bahru dapat mengambil tindakan sewajarnya di tiga buah rumah di Jalan Jagong Satu, Jalan Jagong 11 dan Jalan Jagong 14.

Friday, May 8, 2009

PERTANDINGHAN AKHIR BINTANG BANDARAYA 2009

.
Pada tahun ini, Majlis Bandaraya Johor Bahru telah berjaya menganjurkan pertandingan nyanyian Bintang Bandaraya 2009 yang diantara tujuannya adalah untuk mencungkil bakat-baru negeri Johor khususnya di daerah Johor Bahru.

Pertandingan akhir telah diadakan pada malam tadi bertempat di Auditorium Pusat Penerangan Pelancongan (JOTIC), Jalan Air Molek, Johor Bahru.

Seramai 10 peserta akhir telah tampil dengan persembahan yang begitu mantap serta mempersonakan.

Hadiah-hadiah telah disampaikan oleh YB Dato' Mohd Naim Nasir, Datuk Bandar Johor Bahru.

Kombo Bandaraya Johor Bahru yang mengiringi perserta pertandingan akhir

Barisan 10 peserta yang berjaya memukau hadirin yang memenuhi Auditorium JOTIC

Zaraudin Rahman, Johan pertandingan menerima hadiah dari Datuk Bandar

Mohd Zabri Zakaria, Naib Johan pertandingan menerima hadiah dari Datuk Bandar

Ng Yee Lei, mendapat tempat ketiga sedang menerima hadiah dari Datuk Bandar

Senarai Peserta Akhir Bintang Bandaraya 2009:

1. MAZLIN BINTI ABU BAKAR (Leen), 29 tahun dari Taman Sri Lambak, Kluang menyampaikan lagu Matahari dari penyanyi asal Agnes Monica.

2. MOHD KHAIRUDDIN BIN JAAFAR (Din PP), 37 tahun dari Kg Pasir Putih, Pasir Gudang menyampaikan lagu Gerhana Cinta Luka dari penyanyi asal kumpulan Iklim.

3. NOR ASNIDA BINTI MOHD AZHAR (Shida), 17 tahun dari Taman Pasir Emas, Pasir Gudang menyampaikan lagu Teringin dari penyanyi asal Shima.

4. ZARUDIN BIN RAHMAN @ DERAMAN (Udin @ Zack), 28 tahun dari Kuala Sedili Besar, Kota Tinggi menyampaikan lagu Dir dari penyanyi asal Rahim Maarof.

5. NUR ULFA BINTI GHAZALI (Ulfa), 17 tahun dari Jalan Pahlawan, Johor Bahru menyampaikan lagu Bertakhta Di Hati dari penyanyi asal Farahdiya.

6. MOHD FAIRUZ BIN MANSOR (Bob), 25 tahun dari Taman Dahlia, Johor Bahru menyampaikan lagu Di Sudut Kamar Hatiku dari penyanyi asal Jamal Abdillah.

7. MARLIAH BINTI HAMID (Ermyshah), 20 tahun dari Taman Sri Pulai Perdana, Skudai menyampaikan lagu Bisikan Hati dari penyanyi asal Siti Nourhaliza.

8. MOHD ZABRI BIN ZAKARIA (Ayie), 31 tahun dari Kg Bendahara, Johor Bahru menyampaikan lagu Sampai Syurga dari penyanyi asal Faizal Tahir.

9. SHAHRIL BIN TOWAHID (Airil), 32 tahun dari Taman Desa Rahmat, Johor Bahru menyampaikan lagu Merisik Khabar dari penyanyi asal Sudirman Hj Arshad.

10. NG YEE LEI, 18 tahun dari Taman Johor Jaya, Johor Bahru menyampaikan lagu Anggapanmu dari penyanyi asal Ziana Zain.

PANTAI STULANG TEMPAT PASANGAN BERCENGKERAMA

.
Dalam program YB Adam Sumiru, ADUN Tanjung Puteri dan juga Naib Ketua UMNO Bahagian Johor Bahru bersama Biro Agama UMNO Bahagian Johor Bahru ke Surau Flat Stulang malam tadi, Ketua UMNO Cawangan, Sdr Kassim Saring memberitahu tentang pesisir pantai Stulang di Jalan Ibrahim Sultan telah dijadikan tempat pasangan bercengkerama terutama di waktu malam.

Beliau menyatakan bahawa pasangan ini terdedah kepada perlakuan maksiat apabila tiada lampu yang menerangi kawasan pantai. Lampu yang ada hanya di tepi jalan Jalan Ibrahim Sultan dan sinarannya begitu suram.

Dikatakan juga oleh Sdr Kassim bahawa kerap kali lampu yang ada sering padam dan ini membuatkan lebih ramai pasangan yang mengambil kesempatan untuk berada di kawasan tersebut terutama apabila mereka keluar dari kawasan free trade zon.

Penduduk di kawasan Flat Stulang berharap Kerajaan melalui ADUN Stulang (YB Mok Chek Hou) dan Ahli Majlis Bandaraya Johor Bahru Zon Stulang (Puan Tan Lian) segera mengambil tindakan iaitu dengan memasang lampu-lampu yang lebih terang di sepanjang pesisir pantai Stulang sejauh satu kilometer demi menjaga tatasusila dan mencegah kejadian jenayah.

Dalam program hari ini, saya telah membawa Ustaz Hassan Majid Al-Hafiz, Imam Masjid Jamek Bandar Baru Uda untuk mengimamkan solat Maghrib dan Isyak serta mengetuai bacaan Yaasiin dan tahlil.

Turut sama dalam program ini adalah Ustaz Hj Jalal Abd Rahman, penggerak surau dan masjid DUN Stulang dan juga Haji Hairuddin Abd Hamid, Ketua Kampong yang ditugaskan mengawasi kawasan Stulang Laut.

Program yang memberi menfaat terutama untuk melatih kariah dalam pembacaan Yassin yang betul sangat dititik beratkan oleh YB Adam Sumiru dan diharapkan program yang telah berjalan di beberapa surau dalam parlimen Johor Bahru akan dapat diteruskan.

ANGKAT SUMPAH SEBAGAI AHLIMAJLIS MBJB

.
Pada hari Rabu, 06 Mei 2009 saya bersama 20 orang Ahlimajlis Bandaraya Johor Bahru telah menyempurnakan upacara mengangkat sumpah sebagai Ahlimajlis untuk tempoh 1 Mei 2009 hingga 31 Disember 2010 di hadapan Dato' Mohd Naim Nasir, Datuk Bandar MBJB.

21 orang ini adalah yang dipersetujui oleh Kerajaan Negeri Johor dari nama yang dicadangkan oleh parti-parti UMNO, MCA dan Gerakan serta seorang dari wakil persatuan penjaja.

Bagaimanapun wakil dari MIC masih belum dilantik.

Dalam ucapan Datuk Bandar, beliau mengucapkan tahniah diatas perlantikan dan berharap Ahlimajlis yang dilantik ini akan dapat menjalankan tanggungjawab dengan penuh dedikasi dan berkhidmat kepada masyarakat berpandu kepada tujuh prinsip iaitu menerima, percaya, komitmen, pencapaian, terbaik, tidak merancang untuk kegagalan serta matlamat.

Datuk Bandar juga berharap Ahlimajlis dapat memahami dan melaksanakan makna dan tafsiran huruf M.B.J.B. iaitu "Mesra Berkhidmat Jujur Berbakti".

Puan Hajjah Salmah Saffar, Ketua Pergerakan Wanita UMNO Bahagian Johor Bahru telah dilantik sebagai Ketua Whip sementara Puan Tan Lian, Ketua Wanita MCA Bahagian Johor Bahru dilantik sebagai timbalannya.

Datuk Bandar mengaminkan doa ketika majlis bermula

Saya menandatangani pengakuan menerima jawatan

Sumpah menyimpan rahsia dan ikrar menentang rasuah

Ahlimajlis dari MCA

Ahlimajlis yang baru dilantik bersama
Datuk Bandar dan Setiausaha Majlis