Wednesday, July 22, 2009

PERJUMPAAN DATUK BANDAR BERSAMA PETUGAS

.
Antara Ahli Majlis yang hadir

Minggu lalu saya dapat bersama dengan Datuk Bandar, Dato' Naim Nasir bertemu dengan petugas Majlis.

Dalam ucapannnya, beliau telah memperkenalkan Ahli-Ahli Majlis Bandaraya yang baru dilantik. Seterusnya, menjelaskan komitmen dan usaha beliau sebagai Datuk Bandar terutama memberi tahap penghidupan dan kualiti hidup warga kota melalui peningkatan prestasi dan keupayaan pegawai dan kakitangannya.

Beliau telah berusaha menambah kakitangan dan memberi penambahan pendapatan dan kenaikan pangkat demi mencapai wawasan Bandaraya Johor Bahru.

Beliau juga mengucapkan terima kasih kepada semua kakitangan yang telah memberi kerjasama kepadanya kerana beliau akan menamatkan tugasnya sebagai Datuk Bandar mulai 21 Julai 2009.

PROGRAM BEBAS DENGGI KAWASAN BANDAR BARU UDA


MENGHADIRI MESYUARAT KRT TAMAN MEDITERRANEAN


.
Minggu lalu saya dijemput ke mesyuarat KRT Taman Mediterranean, Jalan Padi Malinja, Bandar Baru Uda.

Kesempatan yang diberi telah saya gunakan untuk menjelaskan kepada mereka yang hadir agar memberi sokongan dan kerjasama kepada saya selaku Ahli Majlis MBJB bagi zon kawalan di Bandar Baru Uda.

Beberapa aduan telah dikemukakan dan saya berjanji akan mengemukakan kepada pihak pengurusan Majlis Bandaraya Johor Bahru bagi tindakan selanjutnya.

DATUK BANDAR BERGOTONG ROYONG MENGECAT GERAI BBU





Saturday, July 18, 2009

DAHAN POKOK MERBAHAYA MULA DICANTAS

.
Kerja-kerja mencantas dahan pokok
berdekatan premis kepunyaan Masjid Jamek Bandar Baru Uda
di Jalan Jagong Satu

Jabatan Landskap Majlis Bandaraya Johor Bahru mengambil langkah segera dengan mencantas dahan-dahan pokok yang merbahaya sebagaimana yang telah saya adukan melalui borang aduan.

Sebahagian dari aduan ini juga telah saya paparkan dalam blog ini.

Syukur alhamdullillah, mulai hari semalam pekerja dan jentera Jabatan Landskap telah berada di Bandar Baru Uda.

Diharapkan kerja-kerja akan dilakukan berhati-hati kerana ia merbahaya bukan sahaja kepada penduduk dan hartabenda malahan kepada pekerja-pekerja Majlis sendiri.

MASALAH PONDOK MENUNGGU TEKSI DI BANDAR BARU UDA





Saya diberitahu tentang beberapa masalah di pondok menunggu teksi di Bandar Baru Uda:-

Sebuah pondok di Jalan Padi, bumbungnya rosak dan perlu pembaikan.

Di Jalan Padi 1, apabila hujan, pengguna akan basah kerana air percikan dari cucuran menimpa pagar bersebelahan.

Masalah yang lain ialah kenderaan akan diparkir berdekatan dengan laluan teksi berhenti dan menunggu penumpang sehingga menyukarkan teksi untuk keluar dan masuk.

Terdapat pokok Cherry yang telah ditebang oleh mereka yang tidak bertanggungjawab menyebabkan keadaan panas di kawasan tersebut.

Kawasan ini menjadi lebih sesak kerana ia terletak di persimpangan Jalan Padi dan Padi 1. Lebih menyesakkan lagi apabila terdapat banyak kenderaan yang diparkir untuk membeli makanan kerana terdapat warung haram berdekatan.

Sebagai jalan mengatasinya, saya telah berjumpa dengan Pengarah Kejuruteraan MBJB dan beliau berjanji untuk mengatasi perkara yang telah diadukan.
.

ADUAN BAU TIDAK MENYENANGKAN DI SEKITAR PADI MALINJA 9, 10, 11, 12, 13 & 14

.
Saya telah melaporkan di blog ini pada 30 Mei 2009 mengenai bauan yang tidak menyenangkan di sekitar Jalan Padi Malinja dan Huma 9 hingga 14.

Saya ingin mengucapkan terima kasih dan syabas kepada Jabatan Alam Sekitar yang telah bertindak responsif kepada aduan tersebut dengan memberi jawapan melalui email saya.

Aduan dan jawapan saya paparkan sebagaimana di bawah:-

Saya telah mendapat aduan bahawa terdapat bau yang tidak menyenangkan pada setiap awal dinihari, biasanya jam 2.00 pagi dan akan hilang pada jam 7.00 pagi.

Ia akan berlaku pada setiap hari Sabtu dan Ahad serta hari-hari cuti tidak bekerja.

Penduduk yang menerima bauan ini adalah di Jalan Padi Malinja 9 hingga 14 dan juga yang berdekatan dengannya.

Harap dapat dibuat tindakan.

Jawapan dari Jabatan Alam Sekitar:

Pihak kami mengucapkan terima kasih kepada tuan di atas sikap mengambil berat mengenai alam sekitar dan akan mengambil tindakan segera berhubung aduan yang dikemukakan. Untuk makluman, aduan ini telah diperpanjangkan kepada JAS Johor bagi tindakan susulan. Kami akan segera menghubungi tuan sebaik sahaja menjalankan siasatan di lapangan. Pihak tuan adalah dipohon untuk mengemukakan nombor telefon bagi memudahkan pihak kami mendapatkan maklumat lanjut sekiranya diperlukan dan juga untuk tujuan maklumbalas. Sekian, terima kasih.

Unit Operasi
Jabatan Alam Sekitar Putrajaya

Pihak kami mengucapkan ribuan terima kasih kepada tuan diatas keprihatinan mengenai alam sekitar. hasil siasatan pegawai pada 10 & 13 Jun 2009 jam 1.00 pg hingga 7.00 pg mendapati tiada sebarang gas-gas berbahaya dikesan sepanjang laluan tersebut. Walaubagaimanapun pihak Jabatan Alam Sekitar akan memantau lokasi tersebut bagi mengenalpasti punca bau yang diadu. Kerjasama dan keprihatinan tuan amat dihargai.

Friday, July 17, 2009

LIMPAHAN AIR KUMBAHAN DI JALAN PADI HUMA 11

.


Saya mendapat aduan dari Haji Fathil Mohammad tentang air yang melimpah keluar dan bebau busuk di Jalan Padi Huma 11, Bandar Baru Uda.

Pada amatan saya, ia mungkin berpunca dari air kumbahan kerana keadaan longkang berwarna hitam dan berbau.

Saya telah melaporkan kepada Haji Sulaiman Taib, Pengarah Kejuruteraan dan berharap beliau dapat bertindak dengan segera.

Thursday, July 2, 2009

UCAPAN PENANGGUHAN MESYUARAT PENUH MBJB

.

UCAPAN HJ MOHD SUNAWAN BIN HJ MD SOM,

AHLIMAJLIS (ZON BANDAR BARU UDA),

MAJLIS BANDARAYA JOHOR BAHRU

PADA HARI KHAMIS, 02 JULAI 2009

Bismillahirahmanirrahim. Assalamualaikum Warahmatuullahi Wabarokatuh dan Salam Sejahtera.


1. Yang Berhormat Datuk Bandar, Yang Berbahagia Puan Ketua Whip, Rakan-rakan Ahli Majlis, Ahli-Ahli Yang Berhormat, Pemerhati-pemerhati Majlis, Puan Timbalan Setiausaha Majlis, Ketua-ketua Jabatan, Ahli-ahli Ex-Officio serta semua yang hadir.


2. Terlebih dahulu, inginlah saya mengucapkan kesyukuran ke Hadrat Allah SWT kerana dengan hidayahnya, sekali lagi saya berada di Dewan ini dan diberi kesempatan untuk memberi ucapan penangguhan.


3. Saya ingin mengucapkan terima kasih di atas kepercayaan Kerajaan yang telah melantik saya sebagai Ahli Majlis dan saya berjanji akan melaksanakan tanggungjawab sebaik yang mungkin.


4. 13 tahun yang lalu, pada tahun 1996 hingga 1998, saya pernah berada di Dewan ini, di dalam suasana yang sama dan tanpa sebarang perbezaan, terutama dalam bentuk fizikalnya. Kalau dahulu, kerusi, meja, karpetnya cantik, tetapi sekarang, nampaknya seperti dahulu juga, bahkan nampak sedikit lusuh. Tidak taulah bila hendak dibaiki atau diganti. Cuma yang silih berganti adalah penghuni dan pelawatnya seperti Datuk Bandar, Ahli-Ahli Majlis, Pegawai-pegawai dan mereka yang di sekeliling kita sekarang.


5. Soalnya ialah apakah kita tidak mahukan perubahan, terutama mengikut peredaran masa?.


6. Saya menyebut mengenai perubahan dalam beberapa tindakan terutamanya dalam memberi perkhidmatan, untuk memberi peningkatan kualiti hidup rakyat khususnya warga kota Bandaraya Johor Bahru.


7. Saya ingin mengungkapkan perkataan perubahan ini kepada ABC iaitu A bermaksud Attitude kerana attitude itu membolehkan seseorang untuk berubah. B adalah Believe iaitu kepercayaan dan keyakinan untuk berubah, sementara C adalah Commitment iaitu satu perlakuan yang istiqamah dalam melakukan perubahan.


8. Kita harus sedar bahawa kesedaran rakyat dalam menggunakan kecanggihan dunia Teknologi Maklumat (IT) pada masa kini tidak dapat disangkal lagi. Ini terbukti dengan perkembangan komunikasi tanpa wayar (wireless) di Negara kita.


9. Sebagai contoh, perubahan sikap pengundi pada Pilihanraya Ke 12 yang lalu, diantara puncanya adalah keberkesanan komunikasi penggunaan internet yang menunjukkan satu gelombang perubahan yang amat besar, telah menyebabkan kemunculan semula pengundi muda yang menggunakan dengan jayanya laman-laman web, blog, utube dan sebagainya.

10. Komunikasi ialah satu perkara yang sangat penting dalam kehidupan kita sehari-hari. Untuk mencapai objektif dan visi kita bagi menjadikan Johor Bahru sebagai Bandar Raya Antarabangsa, Sejahtera Dan Berbudaya, kita perlu berkomunikasi dengan lebih efisyen.

11. Komunikasi di internet telah menjadi satu elemen yang semakin penting pada masa kini. Kepantasan komunikasi di internet telah menyebabkan dunia komunikasi begitu maju. Bahkan komunikasi di internet lebih menarik dengan pelbagai kecanggihan komunikasi seperti menghantar gambar, suara, mahupun video secara langsung pada masa kita sedang berkomunikasi.


12. Saya sedar, Majlis Bandaraya Johor Bahru telah mula mengaplikasikan komunikasi internet ini dengan menyiarkan secara langsung mesyuarat penuh yang sedang berjalan sekarang. Begitupun, segala apa yang diputuskan di dalam mesyuarat penuh ini hendaklah dibuat penyata yang boleh diakses di laman web Majlis.


13. Sebagai sebuah Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) atau lebih di kenali sebagai kerajaan peringkat ketiga, kita hendaklah mengikut langkah Parlimen negara kita. Sidang Parlimen yang diadakan pada 11 September 1959 masih boleh dilihat penyatanya di laman web Parlimen Malaysia.

14. Begitupun, saya ingin mengucapkan tahniah atas beberapa keupayaan kita. Tetapi ini masih jauh dari pencapaian yang sepatutnya dikecapi oleh rakyat dan warga kota.


15. Walaupun kita telah mempunyai laman web, penggunaan telefon hot-line dan sebagainya, pada pandangan saya, kita masih tidak memiliki alat perhubungan yang mula digemari terutamanya oleh anak-anak muda iaitu ‘radio internet’.


16. Radio internet merupakan satu prasarana alternatif untuk meningkatkan keupayaan media radio. Kita sedia maklum, radio pada ketika ini kurang diminati berbanding television.


17. Saya mencadangkan supaya Majlis Bandaraya Johor Bahru mewujudkan radio internet sendiri kerana dengan cara ini, pelayar internet akan dapat pelbagai sumber informasi yang kita sebarkan. Ia lebih pantas dan murah selain dapat menggabungkannya dengan memberi komunikasi bersama hiburan yang bersesuaian.


18. Begitupun, kita masih lagi boleh menggunakan perkhidmatan kendalian RTM seperti FMJB yang dikatakan Radio Bandaraya Johor Bahru, serta Johor FM yang sering mengundang kita untuk memenuhi beberapa program siaran yang diaturkan.


19. Kita tidak seharusnya khayal dengan kejayaan kita sebagai pemenang Anugerah Kualiti Teknologi Maklumat dan Komunikasi bagi Tahun 2008 yang dianjurkan oleh Kerajaan Malaysia dengan projek Sistem e-Perkhidmatan Kaunter Bergerak (e-PKB). Sebaliknya, kita hendaklah lebih berusaha untuk mencapai kejayaan selanjutnya.


20. Saya percaya, Yang Berhormat Datuk Bandar dengan dibantu oleh pegawai-pegawai yang mempunyai disiplin dan dedikasi yang tinggi, mempunyai pengharapan kepada rakan-rakan saya Ahli Majlis untuk memberi perkhidmatan semaksima yang mungkin.


21. Oleh kerana itu, semua Ahli Majlis telah dibekalkan dengan sebuah komputer riba. Adakah ia sebagai satu hadiah atau kenang-kenangan kita sebagai Ahli Majlis?.


22. Tentunya tidak. Ia memerlukan kita memanfaatkannya dengan pelbagai cara seperti menggunakannya untuk berurusan dengan pentadbiran Majlis dan warga kota.


23. Saya percaya, ada diantara kita bahkan saya sendiri kurang berkemahiran menggunakannya. Dengan sebab itu, saya ingin mencadangkan agar Ahli-Ahlimajlis diberi kursus mengikut tahap keperluan seperti penggunaan komputer Words dan Excel.


24. Begitu juga dengan kemahiran menggunakan internet serta melayari laman-laman web dan blog.


25. Dengan cara ini, Ahli-Ahlimajlis akan dapat mewujudkan laman web atau blog sendiri yang akan dapat digunakan sebagai wadah untuk berinteraksi dengan orang ramai terutama warga kota di bawah zon masing-masing.


26. Seperkara lagi yang ingin saya bangkitkan dalam isu yang sama adalah kaedah mesyuarat tanpa kertas iaitu semua Ahlimajlis tidak perlu membawa minit mesyuarat dalam bentuk bercetak ketika menghadiri mesyuarat.


27. Sebagai contoh, pada hari ini sepatutnya Ahli-Ahlimajlis tidak perlu membimbit kertas-kertas mesyuarat yang begini banyak dan berat. Sebaliknya, Ahlimajlis hanya perlu membawa komputer riba untuk mengikuti dan melihat minit mesyuarat, perkara berbangkit dan kertas kerja.


28. Bilik mesyuarat Majlis telahpun dilengkapkan dengan kemudahan komputer dan sistem wi-fi. Cuma penggunaanya tidak menyeluruh.


29. Penggunaan sistem ini akan membolehkan Ahli-Ahlimajlis membuat semakan dimana sahaja dan tidak perlu ke pejabat untuk membuka minit mesyuarat dan kertas kerja. Kita boleh mengaksesnya dengan menggunakan kata laluan masing-masing.


30. Selain itu, untuk melihat perkara berbangkit dan rujukan, ia boleh dilihat melalui sistem capaian atau proses carian.


31. Segala bentuk komunikasi boleh dilakukan dengan begitu cepat, mudah dan murah.


32. Dalam membicarakan soal komunikasi internet di Majlis Bandaraya Johor Bahru ini, saya ingin merakamkan rasa terkejut kerana tidak dapat menghubungi Jabatan Kemasyarakatan melalui internet.


33. Kita sedia maklum bahawa Jabatan ini bertanggungjawab untuk menjalin hubungan baik di antara warga kerja dan warga kota terutamanya di Bahagian Sosial, Kebudayaan & Pelancongan, sentiasa dihubungi oleh Ahli-Ahlimajlis.


34. Kami, Ahli-Ahlimajlis sebagai tenaga penggerak masyarakat diberi tanggungjawab untuk melibatkan orang ramai bagi menjayakan aktiviti-aktiviti penting selain memainkan peranan menggerakkan masyarakat untuk turut mengambil bahagian.


35. Penubuhan Jawatankuasa Penduduk yang berkuatkuasa mulai tahun 2006 dan Local Agenda 21 adalah dua perkara yang tidak boleh dipisahkan dengan Ahlimajlis sebagaimana perumpamaan Melayu, ‘ibarat aur dengan tebing’, ‘ibarat isi dengan kuku’ dan ‘cubit peha kanan, peha kiri sakit juga’.


36. Tanpa kemudahan internet, bagaimana kami Ahli-Ahlimajlis dan Jabatan ini dapat melaksanakan dengan lebih berkesan program-program untuk masyarakat, bagi menguruskan kawasan persekitaran mereka ke arah pembangunan mampan dan kualiti hidup yang lebih tinggi?.


37. Saya sangat berharap kemudahan wi-fi atau capaian internet tanpa wayar akan dapat diwujudkan di Jabatan ini. Begitu juga dengan kemudahan komputer, kelengkapan dan perisiannya, supaya ia membantu mendapatkan maklumat terkini, bahkan dapat meningkatkan prestasi serta mencapai objektif pekerjaan.


38. Sebelum saya mengakhiri ucapan, saya ingin memohon maaf sekiranya terdapat kesalahan dalam pertuturan serta berharap beberapa cadangan saya akan mendapat perhatian dan tindakan yang sewajarnya.


39. Sekiranya cadangan tersebut dipersetujui, kita masih belum terlambat untuk melakukannya walaupun mungkin ada Pihak Berkuasa Tempatan lain yang telah mendahuluinya.


40. Tentunya, ia adalah satu tindakan yang memenuhi gagasan Yang Amat Berhormat Perdana Menteri Malaysia yang telah melancarkan Konsep Satu Malaysia, rakyat didahulukan, pencapaian diutamakan.


41. Akhirnya, saya percaya dengan kepimpinan Yang Berhormat Datuk Bandar yang sediaada ketika ini, telah membawa kepada beberapa kejayaan. Dengan sebab itu, segala rekod kejayaan ini akan menjadi elemen dan pengukur kepada penyambungan perkhidmatan Yang Berhormat Datuk di Majlis ini. Insyaallah.


Sekian. Wabillahi ….


Wednesday, July 1, 2009

POKOK-POKOK YANG PERLU DICANTAS DAN DITEBANG

.
Beberapa aduan telahpun saya majukan kepada pengurusan Majlis Bandaraya Johor Bahru agar beberapa pokok yang sangat merbahaya sekiranya berlaku bencana seperti ribut yang menyebabkan pokok patah atau tumbang.

Pokok di persimpangan Jalan Padi 1 dan Padi 5, BBU

Pokok di Jalan Sekoi, BBU

Pokok di Jalan Barli 2/4, Skudai Kanan

Pokok di Jalan Barli 2/4, Skudai Kanan

2 pokok bersebelahan SK Kompleks Uda
dan restoran di Jalan Jagong, BBU


SIARAN LANGSUNG MESYUARAT PENUH MBJB

.
Mesyuarat penuh Majlis Bandaraya Johor Bahru bagi bulan Jun 2009 mengikut jadual asal adalah pada 30 Jun. Ia telah ditunda kepada 2 Julai (Khamis) iaitu hari esok mulai jam 3 petang.

Saya telah mengemukakan permohonan kepada Ketua Whip Ahli Majlis agar memberi kebenaran kepada saya untuk berucap di dalam ucapan penangguhan.

Sekiranya dibenarkan, saya akan membicarakan soal perubahan khususnya yang berkaitan dengan teknologi maklumat (IT).

Siaran langsung mesyuarat ini boleh dilayari melalui laman web MBJB.

Thursday, June 4, 2009

MESYUARAT BERSAMA DATO' SHAHRIR SAMAD

.
Petang tadi, sekali lagi semua Ahli Majlis MBJB dari Parlimen Johor Bahru bermesyuarat dengan dipengerusikan oleh YB Dato' Shahrir Samad.

Mesyuarat setiap bulan ini adalah untuk mendapat maklumbalas segala masalah dan tindakan yang telah dilakukan di setiap Zon jagaan ahli-ahli majlis.

Mesyuarat yang bermula pada jam 5.00 petang telah berakhir sebelum masuk waktu Maghrib telah membincangkan banyak perkara termasuk program lawatan tumpuan pada bulan ini.

Lawatan bulan ini akan diadakan pada 11 haribulan dan ditumpukan di Taman Pelangi dan Taman Sri Tebrau.

Diharapkan program pada kali ini akan dapat menyelesaikan masalah yang dikenalpasti seperti keadaan longkang pecah dan tersumbat, pembiakan tikus dan masalah kebocoran bumbung pasar Taman Sri Tebrau.

Semua Ahli Majlis dari Parlimen Johor Bahru diminta bersama dalam program tersebut sebagaimana yang telah dilakukan di Taman Abad pada bulan Mei yang lalu dan menempa banyak kejayaan.

Malangnya, saya sendiri tidak dapat bersama kerana membawa rombongan Kelab Warga Emas Masjid Jamek Bandar Baru Uda ke Beijing, China.

Saturday, May 30, 2009

BAUAN TIDAK MENYENANGKAN PADA DINIHARI DI KAWASAN JALAN PADI HUMA

.
Saya mendapat aduan dari penduduk di kawasan Jalan Padi Huma, Bandar Baru Uda terutama di Jalan Padi Huma 9 hingga 14 mengenai gangguan bau yang tidak menyenangkan yang berlaku pada setiap awal dinihari sehingga matahari terbit.

Mereka mengatakan bahawa berkemungkinan terdapat kilang-kilang di sekitar Jalan Tahana yang telah melepaskan bahan buangan sehingga menyebabkan pencemaran alam sekitar pada awal pagi untuk menyukarkan dikesan oleh pihak yang berwajib.

Mengikut aduan, kejadian ini akan berlaku pada setiap hari Sabtu, Ahad dan hari-hari kelepasan. Ianya tidak berlaku pada hari-hari biasa.

Diharapkan Jabatan Alam Sekitar membuat siasatan dan mengambil tindakan sewajarnya kerana ia telah berlaku sejak lebih dari 5 tahun lalu.


Thursday, May 28, 2009

CADANGAN MENGURANGKAN KEMALANGAN DI BANDAR BARU UDA

.
Mengikut laporan kemalangan bulan April 2009 yang dikeluarkan oleh Cawangan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah Johor Bahru Utara menunjukkan kemalangan yang berlaku di Bandar Baru Uda menunjukkan yang tertinggi (16 kemalangan) di jalan bandaran atau kawasan taman-taman perumahan.

Selain itu, kemalangan di Km 9 di Jalan Skudai (berhadapan Bandar Baru Uda) juga menunjukkan sebanyak 14 iaitu kedua tertinggi selepas Km 10 (18 kemalangan).

Saya berpendapat diantara faktor yang menyumbang kemalangan di Bandar Baru Uda:-

- Kedudukan jalan keluar dari Jalan Padi ke Jalan Skudai agak curam menurun dan tidak begitu lebar.

- Jalan sehala Padi Mahsuri agak lebar memanjang dari Kg Muafakat ke persimpangan Jalan Padi Emas dan terdapat beberapa simpang.

Saya telah mencadangkan di dalam Mesyuarat Jawatankuasa Lalulintas pada bulan Mei agar perkara berikut dilakukan:-

- Membina jalan alternatif dengan mengambilkira jalan susur sediaada di hadapan stasion Petronas iaitu bagi jalan keluar masuk Jalan Padi ke Jalan Skudai.

- Membina dan menyambung pembahagi jalan sediaada dari Jalan Tampoi ke persimpangan Jalan Padi Emas dan diteruskan hingga ke Kg Muafakat.

Majlis Bandaraya hendaklah membuat kajian atas kedua-dua cadangan tersebut yang bertujuan untuk mengurangkan kemalangan jalanraya.

MASALAH DI FLAT LEDANG

Merbahaya .. penutup lubang tangki kumbahan yang hilang

Tong sampah tidak dapat digunakan kerana terbakar
atau mungkin dibakar

Masalah yang ketara di Flat Ledang, Bandar Baru Uda sekarang adalah kutipan bayaran oleh pemilik rumah kepada Uda Urus Sdn Bhd iaitu badan pengurusan yang diberi tanggungjawab menguruskan penyelenggaraan di flat ini. Pemilik rumah mempunyai banyak tunggakan dan ini menyebabkan Uda Urus SB tidak dapat membuat penyelenggaraan dengan sempurna.

Penutup lubang tangki kumbahan yang pecah dan tong mengumpul sampah yang terbakar tidak dapat diganti atau diperbaiki disebabkan dana yang terhad atau mungkin tidak mencukupi.

YB Hj Adam Sumiru telah berjanji untuk membantu mengganti penutup lubang dan tong sampah. Ketua UMNO Cawangan perlu mendapatkan sebutharga dan akan dimajukan kepada ADUN Tanjung Puteri.

Bagaimanapun, sesuatu tindakan perlu diambil untuk memastikan semua pemilik rumah dapat membayar yuran bulanan dan tunggakan agar segala kerja penyelenggaraan dapat berjalan dengan sempurna.

TAMAN PERMAINAN FLAT LEDANG PERLU TAMBAHAN ALAT PERMAINAN

Ketika mengadakan gotong royong di kawasan flat Ledang, Sdr. Azmi Tuganal, Ketua UMNO Cawangan telah meminta supaya alat-alat permainan dapat diperbanyakkan di kawasan taman yang ada.

Alat permainan yang ada sekarang tidak dapat menampung keperluan kanak-kanak yang bermain terutama di waktu petang.

Memandangkan kedudukan kawasan lapang yang masih ada, saya percaya pihak Majlis Bandaraya boleh mengadakan dan menambah alat-alat permainan yang diperlukan.

GOTONG ROYONG DI FLAT LEDANG

Dato' Shahrir memberi arahan kerja

Pagi ahad lalu, penduduk Flat Ledang Bandar Baru Uda mengadakan program gotong royong membersihkan persekitaran perumahan mereka.

Program yang bermula pada jam 8:00 pagi dimulakan dengan ucapan-ucapan dari ketua penduduk, Pegawai Kesihatan Johor Bahru dan Dato' Shahrir Samad selaku Ahli Parlimen Johor Bahru.

Dari kiri, Azmi Tuganal, Dato' Shahrir,
Pegawai Kesihatan dan YB Adam Sumiru

Selepas ucapan-ucapan ringkas, semua yang hadir telah digerakkan untuk membuat kerja-kerja pembersihan di serata kawasan 254 unit rumah penduduk di kawasan berkenaan.

Peralatan seperti pungkis, cangkul, penyapu, garpu dan sebagainya yang disediakan oleh Southern Waste Management telah digunakan sepenuhnya selain lori-lori yang digunakan untuk mengangkut sampah dan barang buangan.

Ketika melakukan kerja-kerja gotong royong, kelihatan ramai penduduk yang turut sama seperti dari kaum bapa, ibu dan anak-anak.


Keseronokan bekerja begitu ketara terutama melihat Dato' Shahrir Samad yang terus melakukan kerja-kerja bahkan memberi arahan tentang kerja yang perlu dilakukan.

Kesungguhannya bekerja menyebabkan ramai penduduk yang mulanya hanya menjadi pemerhati terpaksa turun membantu.

Ketika matahari mula condong ke barat pada jam 1:00 petang, kerja gotong royong dihentikan apabila Dato' Shahrir beredar dari kawasan kerja.

Jam 1:00 petang Dato' Shahrir
meninggalkan kawasan gotong royong

TAMAN PERMAINAN TIDAK DISELENGGARA DENGAN MEMUASKAN

.
Saya mendapat aduan dari penduduk di kawasan Jalan Padi Ria mengenai taman permainan yang terletak di antara Jalan Padi Ria 15 dan Jalan Padi Ria 17 telah tidak diselenggara dengan memuaskan.

Terdapat banyak sampah sarap yang tidak dibersihkan termasuk dahan dan daun kering yang berlonggok.

Begitu juga dengan akar dari tunggul pokok akibat pokok tumbang telah tidak dibersih dan diratakan.

Laluan pejalan kaki untuk jogging juga licin dan berlumut dan ia amat merbahaya kepada pengguna terutama warga emas.

Ketika ini, mereka tidak lagi menggunakan kawasan ini untuk berjogging dan beriadah disebabkan perkara yang diadukan.




LONGGOKAN DAHAN DAN DAUN KERING PERLU DIBERSIHKAN

Longgokan di simpang Jalan Padi 4 dan Jalan Sekoi

Longgokan di Jalan Padi

Usaha penduduk mencantikkan kawasan persekitaran rumah masing-masing patut diberi pujian. Ini termasuklah kerja-kerja mencantas pokok yang rendang yang boleh menyebabkan kejadian yang tidak diingini berlaku apabila pokok tumbang dan sebagainya.

Bagaimanapun mereka sepatutnya membersihakan kawasan masing-masing dan tidak sepatutnya melonggokkan dahan yang telah dicantas di luar pagar rumah.

Saya berharap pihak Majlis melalui Southern Waste Management dapat membantu dengan membersihkan kawasan berkenaan.

BUANG TUNGGUL DAN BINA PEJALAN KAKI

.

Tunggul pokok yang telah ditebang di kawasan laluan pejalan kaki Jalan Jagong bersebelahan kedai dan Sekolah Kebangsaan Kompleks Uda perlu dibersih dan diratakan kerana ia sangat merbahaya kepada pengguna jalan raya.

Pembersihannya sangat diperlukan kerana laluan ini digunakan oleh murid-murid sekolah untuk pergi dan balik selain digunakan oleh orang ramai yang berurusan dengan sekolah dan kedai-kedai berhampiran.

Laluan pejalan kaki perlu dibina untuk mengelakkan kanak-kanak sekolah menggunakan jalan raya untuk mereka berjalan kaki berulang-alik dari rumah ke sekolah.

POKOK-POKOK YANG PERLU DITEBANG

.
Pokok rendang merosakkan permukaan jalan dan
merbahaya kepada pengguna jalan raya

Terdapat 3 batang pokok yang perlu ditebang kerana keadaannya yang rendang dan akarnya telah timbul di permukaan jalan. Ia sangat merbahaya kepada pengguna jalan raya dan merosakkan jalan.

Batang pokok yang genting dan boleh
tumbang pada bila-bila masa sahaja

Pokok yang dimaksudkan adalah di penghujung Jalan Padi 1 dan Padi 9. Sebatang pokok lagi terletak di Jalan Padi Mahsuri 1 dan pangkalnya telah genting kerana dibakar oleh individu yang tidak diketahui. Pokok ini boleh tumbang sekiranya ditiup angin kencang.

Sebatang pokok perlu ditebang kerana
melindung pemandangan mereka yang ingin keluar dari jalan ini

Terdapat sebatantg pokok lagi di pinggir Jalan Padi Mahsuri berdekatan dengan persimpangan Jalan Padi Mahsuri 1 yang boleh menyebabkan kemalangan disebabkan ia melindung penglihatan pengguna yang ingin keluar dari simpang Jalan Padi Mahsuri 1.

Friday, May 15, 2009

PENUBUHAN JAWATANKUASA PENAJA KRT FASA SATU BANDAR BARU UDA

.
Haji Abu Bakar Ibrahim
..... gaya seorang pemimpin

Sebentar tadi saya hadir ke majlis penubuhan KRT Fasa Satu Bandar Baru Uda disamping meraikan perlantikan saya sebagai Ahli Majlis Bandaraya Johor Bahru dan juga penghargaan kepada mantan Ahli Majlis, Tuan Haji Mohd Said Ibrahim.

Majlis yang diadakan di Dewan Raya Jalan Jagong 4 dihadiri oleh penduduk kawasan Fasa 1.

Perjumpaan ini telah bersetuju melantik Jawatankuasa Penaja KRT yang dipengerusikan oleh Sdr Abd Latif Kadiman dengan dibantu oleh Sdr Haji Mahmood Muyob.

Pemuda-pemuda di kawasan ini telah menubuhkan pasukan kompang dan dalam majlis ini pasukan ini telah menerima 10 buah kompang baru dan juga pakaian seragam.

Tahniah diucapkan kepada Tuan Haji Abu Bakar Ibrahim yang mengambil inisiatif menganjurkan majlis yang sangat bermakna kepada penduduk di kawasan terlibat.

Ketua Kumpulan Kompang

Ketua Pemuda

Penerimaan ahli baru

Terima kasih ......

Mereka yang hadir