Wednesday, April 28, 2010

TIKUS DI FLAT BLOK A-F SKUDAI KANAN

.

Saya mendapat aduan dari Sdr Rahmatullah Ajar, Pengerusi JMB Rumah pangsa Blok A-F Skudai Kanan tentang tikus yang membiak di kawasannya.

Mengikut laporannya, tikus, terutamanya tikus tanah telah berada di tingkat 1 daN 2 di rumah pangsa berkenaan.

Beliau berharap Majlis melalui Jabatan Kesihatan dapat mengambil tindakan pembasmian tikus-tikus di Blok A-F sepertimana yang dilaporkan.

KEDATANGAN KARAM SINGH SATU PETANDA BURUK

.
"Satu petanda buruk"

Benarlah kata Hj Ahmad Daud, Ahli Majlis MBJB bagi Zon Rinting yang mengatakan kehadiran Karam Singh Walia dari TV3 memberi petunjuk buruk kepada Majlis Bandaraya.

Beliau mengatakan ini ketika berucap dalam ucapan Mesyuarat Penuh semalam. Katanya, dia terjumpa Karam Singh yang juga sahabatnya di pejabat Majlis Bandaraya. Ia mengesyaki satu assignment sedang dilakukan. Pastinya dalam program Aduan Rakyat yang sedang popular kepada penonton television.

Seperti yang dihujahkan oleh Hj Ahmad Daud, malam tadi dalam rancangan Aduan Rakyat TV3, Karam Singh telah menonjolkan masalah ketidakcekapan Majlis Bandaraya Johor Bahru dalam menangani masalah parit dan longkang di Taman Permas Jaya.

Perkara pokok yang dibangkitkan ialah parit longkang yang tidak dibersihkan menyebabkan air bertakung dan menjadi tempat pembiayakan nyamuk. Karam Singh membawa sendiri jentik-jentik nyamuk yang dicedok dari longkang tersebut dan menunjuknya kepada Puan Hjh Aishah Kapi, Timbalan Setiausaha MBJB di pejabat Majlis.

Apa yang lebih menyedihkan ialah Karam Singh menyindir paparan di pejabat yang menyatakan "Menjadikan Johor Bahru Bandaraya Antarabangsa Sejahtera dan Berbudaya".

Dalam rancangan Aduan Rakyat ini, diberitakan ramai penduduk Permas Jaya yang telah dihinggap demam Denggi sehingga menyebabkan beberapa kematian. Karam Singh dapat membuktikannya apabila melihat air bertakung dan terdapat jentik-jentik.

Selepas pertemuan tersebut, barulah kerja-kerja pembersihan dilakukan oleh syarikat yang mendapat konsesi iaitu Southern Waste Management.

Seharusnya kita mengucapkan terima kasih kepada Karam Singh Walia dan TV3 kerana menyedarkan MBJB atas kealpaannya yang mengundang pelbagai masalah kepada penduduk yang membayar cukai.

Satu aspek yang perlu diambil perhatian adalah mengapa keadaan ini terjadi?. Adakah ia manifestasi ketidakcekapan Majlis Bandaraya menguruskan kerja-kerja pembersihan parit dan longkang?.

Siapa yang patut dipersalahkan dan mengapa Karam Singh pergi ke Taman Permas Jaya?.

Rakan saya, Ahli Majlis Zon Permas Jaya, Datuk Hj Ibrahim Abdul Ghaffar sepatutnya boleh memberi jawapan dalam perkara ini.

Ahli Majlis adalah wakil rakyat dalam zon masing-masing,
menjadi mata, telinga dan jurubicara Majlis

Hujah Hj Ahmad Daud
"Perlukah Karam Singh Walia datang lagi ke sini?"

Bersedialah untuk saya datang lagi ke Johor Bahru!

.

PENIPUAN DARI JAKEL LAGI

.
Dalam perjalanan balik ke BBU melalui Jalan Padi Emas tengahari tadi, saya terlihat beberapa iklan dari JAKEL.

Persoalan yang ingin ditimbulkan di sini ialah mengapa terdapat iklan yang mempunyai permit (terdapat tempelan logo Majlis) dan sebahagian lagi tidak ada?. Saya mengesyaki JAKEL membuat penipuan dan ia telah berulangkali saya melaporkan perkara ini. Diantara syor yang pernah saya kemukakan dalam mesyuarat pelesenan ialah memberi amaran kepada mereka dan sekiranya melakukannya lagi, hendaklah disenaraihitam serta tidak dibenarkan membuat iklan di kawasan Majlis Bandaraya.

Keduanya, apakah JAKEL telah mendapat kebenaran dari Pejabat Perdagangan Dalam Negeri apabila membuat iklan lelong langsir dan lelong kain gila-gila sehingga 98%!.

Saya berharap Majlis Bandaraya melalui Jabatan Pelesenan bertindak segera dalam kedua-dua perkara tersebut. Tetapi janganlah setakat menurunkan iklan ini sahaja, itupun kalau nak dibuat. Buat dengan serius kerana Majlis juga mempunyai maruah dan harga diri.

Tidak hairanlah apabila saya mengatakan bahawa ini adalah diantara penyebab Majlis Bandaraya kekurangan dana sekarang.

Mana permit menggantung iklan ini?

Tuesday, April 27, 2010

BANTING & BANNER HARAM MASIH TIDAK DITURUNKAN

.

Saya telah membawa masalah ini dalam mesyuarat Jawatankuasa Pelesenan MBJB pada 6 April 2010 dan saya paparkan di blog ini pada 13 April 2010. Malangnya, sehingga kini keadaan tersebut masih seperti dahulu dan tidak ada kerja menurunkannya.

Lihatlah di Fasa 1 atau di Jalan Padi dan Jalan Jagong BBU. Apakah perlu penduduk sendiri yang menurunkannya?.

Bertindaklah segera wahai penguatkuasa MBJB.

Saturday, April 24, 2010

MASALAH PENGURUSAN PEMBETUNGAN DI BANDAR BARU UDA

.
Saya telah membuat aduan tentang masalah saluran pembetungan tersumbat sehingga air kumbahan mengalir di atas jalan raya di Jalan Padi Malinja. Laporannya juga telah dibuat di blog ini (klik di sini).

Saya telah diberitahu oleh Adeila, penjenguk blog ini bahawa kerja-kerja pembaikan telah dilakukan pada 24 April baru lalu.

Terima kasih diucapkan kepada Majlis yang telah bertindak segera. Begitupun, terdapat 2 kawasan lagi mempunyai masalah yang sama iaitu di Blok P Pangsapuri Ledang dan juga di Jalan Padi Huma 1.

Pemaju, Uda Land telah diberitahu mengenai perkara ini dan saya diberitahu permohonan untuk menyerahkan pengurusan pembetungan kepada Majlis Bandaraya, malangnya masih belum mendapat sebarang keputusan.

Wednesday, April 21, 2010

KESELAMATAN PEJALAN KAKI

.
Gambar menunjukkan jalan penghubung antara Jalan Jagong 3 dan Jalan Padi yang digunakan oleh pejalan kaki sebagai jalan pintas.
Keadaan sekarang boleh menyebabkan kemalangan seperti terjatuh ke longkang.

Adalah dicadangkan agar pemegang seperti railing dibuat di kawasan ini demi keselamatan pengguna.

LONGKANG PECAH DI JALAN PADI 9

.

Gambar di atas adalah keadaan longkang di penghujung Jalan Padi 9 yang bertemu Jalan Padi 1.

Sekiranya tidak segera dibaiki, ia boleh menyebabkan keadaan lebih teruk dan memerlukan perbelanjaan lebih besar.

Diharap Majlis Bandaraya dapat memperbaiki kerosakan ini dengan segera.

TUNGGUL KAYU PATUT DIBUANG

.
Tunggul kayu bersebelahan Sekolah Kebangsaan Kompleks Uda, Jalan Jagong ini perlu dibersihkan kerana ia boleh menyebabkan gangguan dan merbahaya kepada pengguna jalan raya.

Tunggul adalah dari pokok teduh yang ditebang oleh Majlis. Selain berdekatan sekolah, ia juga behadapan dengan deretan kedai di Jalan Jagong 1.

Diharap tindakan segera dapat dilakukan oleh bahagian Landskap Majlis Bandaraya Johor Bahru.

GARAJ DI ZAIM TYRE WORKS & SERVICE

.
Banyak aduan yang telah saya terima tentang kewujudan garaj kereta di hadapan premis Zaim Tyre Works & Service di Jalan Sekoi samada mendapat kelulusan Majlis.

Saya telah mengadukan perkara ini dalam mesyuarat pengurusan sejak tahun lalu, namun sehingga kini tidak tahu kedudukannya.

Sekiranya ia tidak mendapat kelulusan, apakah tindakan yang telah dilakukan dan mengapa ia masih wujud di situ.

Penjelasan perlu diberikan oleh Majlis tentangnya supaya tidak menjadi tandatanya dan ikutan kepada mereka yang lain.

Wednesday, April 14, 2010

AIR KUMBAHAN MENGALIR DI JALAN PADI MALINJA

.
Beginilah gambar-gambar keadaan permukaan Jalan Padi Malinja/Jalan Padi Malinja 7. Ramai penduduk yang tidak sedar air yang melimpah adalah dari paip air kumbahan yang pecah.

Memang ada penduduk yang membuat aduan tentang air yang bertakung tapi tidak ada yang mengadu tentang air kumbahan. Mungkin mereka tidak terbau disebabkan kebanyakan mereka menggunakan kereta.

Kelewatan memperbaikinya akan memyebabkan masalah kesihatan dan jalan akan menjadi rosak.

Esok, saya akan membawa perkara ini ke messyuarat Pengurusan MBJB. Insyaallah.
.
Saya mendapat aduan dari penduduk Bandar Baru Uda tentang sebuah rumah penjuru di Jalan Padi Malinja 14. Dikatakan keadaan rumah ini sentiasa dipenuhi dengan kenderaan dan pelbagai bahan binaan samada yang digunakan atau tidak berada di sekeliling rumah dan kiri kanan jalan.

Memandangkan jalan ini adalah jalan utama untuk penduduk keluar masuk dan juga digunakan untuk mereka yng menggunakan padang bola sepak, gelanggang tertutup dan balai penduduk menyebabkan ia telah kesesakan dan tidak teratur.

Lebih teruk lagi, difahamkan pada setiap pagi, kawasan jalan ini digunakan untuk mengumpulkan pekerja-pekerja untuk memberi arahan kerja dan sebagainya. Pemilik rumah ini adalah kontraktor pembersihan yang mempunyai hubungan dengan Bandaraya.

Petang tadi, saya telah menemui seseorang yang bernama Yazid Aspol dan mengaku sebagai anak tuan rumah berkenaan. Saya telah menasihatkannya supaya membersihkan kawasan rumah selain tidak membuat pelbagai tindakan yang menyebabkan gangguan kepada penduduk di kawasan berkenaan.

Saya juga mengharapkan agar Majlis Bandaraya Johor Bahru dan SWM dapat mengambil tindakan sewajarnya agar suasana di kawasan berkenaan akan lebih tenteram.

Tuesday, April 13, 2010

.
Ada 2 iklan yang saya ambil pada pagi tadi di kawasan Jalan Jagong, Bandar Baru Uda. Apakah istimewanya iklan ini hingga saya masukkan dalam entri kali ini.
  • Tidak ada kebenaran dari Majlis Bandaraya untuk memasangnya,
  • Melebihi had tempoh iklan.
Saya pernah membawa perkara ini ke mesyuarat Jawatankuasa Majlis. Saya mengutarakannya kerana:
  • Penipuan kerana sebahagian iklan mendapat kebenaran.
  • Tidak membuat bayaran mengakibatkan kerugian.
  • Mengotorkan kawasan kerana tidak menurunkan iklan sehingga berbulan-bulan.
Saya telah mengesyorkan supaya diberi surat tunjuk sebab bagi membolehkan dikenakan dendaan. Sekiranya ia melakukan sekali lagi, maka syarikat ini boleh disenaraihitamkan.

Diharap Majlis dapat mengambil tindakan segera atas perkara tersebut dan seterusnya menurunkan semua iklan berkenaan.
.

Monday, April 12, 2010

SAMPAH DI HADAPAN S.K. KOMPLEKS UDA

.
Hj Haron Suhadi, seorang penduduk yang perihatin dengan masalah persekitaran di Bandar Baru Uda telah mengadu mengenai sampah yang bertaburan di hadapan Sekolah Kebangsaan Kompleks Uda.

Hari ini, saya telah menghubungi Sdr. Lokman, pegawai SWM yang ditugaskan tentang kebersihan di Bandar Baru Uda. Beliau telah berjanji untuk melawat dan mengambil tindakan sewajarnya.

Saturday, April 10, 2010

MBJB TIDAK PENUHI KEPERLUAN PROGRAM KESIHATAN

.
Alangkah baiknya jika MBJB dapat memenuhi kehendak Masjid Jamek Bandar Baru Uda yang mengadakan program kesihatan pada hari Jumaat 9 April mulai 9 pagi di Dewan Jubli Perak, BBU.

Program yang dianjurkan bersama Pasukan Bulan Sabit Merah MJBBU dan Kelab Rakan Muda MJBBU telah berjaya mengumpulkan 300 orang peserta bagi mendengar ceramah dan pamiran yang disediakan.

Ceramah pertama telah disampaikan oleh Dr Badrul Hisham Abd Samad yang berkaitan dengan penyakit berjangkit H1N1.

Ceramah kedua pula mengenai penjagaan gigi yang telah disampaikan oleh Dr Filzah Abas. Sementara ceramah terakhir adalah mengenai pengurusan stress oleh Encik Baba Arba.

Beberapa jabatan yang mengadakan pamiran adalah penjagaan gigi, Denggi, Anti Dadah dan JobsMalaysia.

YB Datuk Seri Utama Hj Shahrir Abd Samad, Ahli Parlimen Johor Bahru telah memberikan ucapan dan seterusnya merasmikan majlis berkenaan.

Majlis ini berjaya menepati matlamatnya. Begitupun ketiadaan tempat mencuci tangan bagi tujuan menunjukkan cara yang betul mencuci tangan bagi mengelakkan merebaknya penyakit H1N1 sedikit mencacatkan kejayaannya. Begitu juga dengan ketidakhadiran kaunter bergerak MBJB bagi tujuan bayaran cukai harta, kompaun dan sebagainya.

.