Wednesday, May 26, 2010

SAMPAH BERSERAKAN: KEMUNGKINAN ANGKARA PEKERJA SWM

.
Sekali lagi saya membawa perkara ini (klik sini), sampah bertaburan di hadapan Sekolah Kebangsaan Kompleks Uda.

Pengurusan sekolah dan PIBG sedar mengenai perkara ini dan sebab itu gotong royong yang dilakukan baru-baru termasuk juga membersihkan kawasan tersebut. Alhamdullillah, bersih.

Bagaimanapun, pagi tadi saya dapati sampah berserakan seperti gambar di atas. Ia mungkin disebabkan oleh pekerja SWM yang membawa keluar dari kawasan pengumpulan sampah di dalam kawasan sekolah. Kerja yang tidak berhati-hati dan dibuat secara tergesa-gesa menyebabkan keadaan demikian.

Insyaallah saya akan melaporkan perkara ini kepada pegawai SWM.

KARAOKE: SIGNBOARD PULA DINAIKKAN

.
Premis 9 & 11 Jalan Padi Emas 6/2 Bandar Baru Uda akan dijadikan premis hiburan (karaoke) sebagaimana yang telah saya laporkan sebelum ini (klik di sini).

Semalam, sekali lagi saya telah pergi ke premis ini. Saya dapati besi-besi telah dipasang untuk tujuan menaikkan signboard.

Sepengetahuan saya, tiada sebarang perbincangan atau kelulusan telah diberi untuk perniagaan ini.

Sekali lagi saya mengharapkan sesuatu tindakan drastik hendaklah dilakukan oleh Majlis Bandaraya.

JANGAN BIARKAN WARUNG WUJUD DI SINI

.
Gambar di atas memang cantik dan nampak tenang. Ia adalah kawasan letak kereta di Jalan Padi Emas 6/1 iaitu satu kawasan perniagaan yang beru beroperasi.

Waktu malam, di hujung jalan ini telah digunakan oleh peniaga warung menjual makanan.

Saya tidak pasti bagaimana peniaga ini mendapatkan sumber air dan bagaimana pula ia menjaga kebersihan.

Majlis Bandaraya mesti mengambil tindakan segera supaya tiada peniaga lain yang akan turut sama berniaga di sini.

PENUTUP LONGKANG PECAH DI SJKC FOON YEW 4

.
Aduan yang saya terima dari ibu bapa pelajar S.J.K.C. FOON YEW 4, Jalan Cenderasari, Larkin menyatakan banyak penutup longkang yang telah pecah sehingga boleh membahayakan pelajar dan mereka yang menggunakannya.

Saya telah melawat tapak dan mendapati benar aduan mereka. Terdapat 8 lubang yang perlu ditutup semula.

Diharapkan Jabatan Kejuruteraan Majlis Bandaraya Johor Bahru dapat mengambil tindakan segera.

BERTINDAKLAH SEGERA SEBELUM IA MENJADI IKUTAN

.
Gambar di atas menunjukkan sebuah kedai di Jalan Padi Emas 6/1 telah menjalankan kerja-kerja penambahan di atas petak letak motosikal. Saya yakin tidak ada sebarang kelulusan dari Majlis Bandaraya.

Lihat gambar di bawah, petak meletak motosikal ini akan hilang tidak berapa lama lagi. Ia akan digunakan sepenuhnya oleh pemilik perniagaan ini.

Untuk megetahui jenis perniagaanya, lihat gambar di bawah.

Saya percaya sekiranya Majlis Bandaraya tidak bertindak segera dengan merobohkannya, maka ia akan menjadi ikutan kepada peniaga lain khususnya di kawasan ini yang baru mula beroperasi.

Majlis Bandaraya pernah merobohkan binaan tambahan berdekatan kawasan ini tidak berapa lama dahulu. Tentulah tidak menjadi masalah kiranya tindakan sama dapat dilakukan di kawasan ini pula.

Tugas melaporkan telahpun saya lakukan dan bagaimana dengan tindakannya?.

Monday, May 24, 2010

BILA NAK DIPERBAIKI

.

Bahagian Jalan Jabatan Kejuruteraan patut melihat kerosakan ini yang berlaku di persimpangan Jalan Padi Malinja dan Padi Malinja 1, Bandar Baru Uda.

Kerosakan ini telah begitu lama dan ia dibiarkan begitu saja tanpa sebarang usaha untuk memperbaikinya.

Bila lagi?.

LONGKANG TERSUMBAT DI JALAN JAGONG 4

.
Saya telah diberitahu terdapat longkang tersumbat di belakang rumah No 6 Jalan Jagong 4, Bandar Baru Uda.

Saya telah melawat, melihat sendiri dan mendapati terdapat beberapa potong kayu serta sampah sarap yang memenuhi longkang berkenaan.

Selanjutnya, saya telah menghubungi Encik Izan, pegawai SWM dan meminta pekerjanya membersihkan longkang tersebut.

SARANG TEBUAN DI JALAN JAGONG 4

.
Pagi ini saya diberitahu oleh Hj Mahfoz Kassim tentang kewujudan sarang tebuan yang berada di pokok bersebelahan gelanggang futsal Jalan Jagong 4, Bandar Baru Uda.

Difahamkan tebuan ini adalah jenis berbahaya dan dikhuatiri membahayakan mereka yang menggunakan gelanggang futsal dan juga taman permainan selain mereka yang berulang alik ke surau Al-Falah.

Saya telah menghubungi Pengarah Landskap MBJB, Sdr Jalil Tasliman melalui khidmat pesanan ringkas agar mengambil tindakan segera.

PERCUBAAN PERCUMA UNTUK MENYANYI

.
Saya pernah melaporkan di blog ini tentang premis di no. 9 dan 11 Jalan Padi Emas 6/2 Bandar Baru Uda yang mungkin akan dijadikan perniagaan karaoke (lihat di sini). Dalam mesyuarat pelesenan yang minggu lalu, saya telah mengadukan perkara ini dan meminta Jabatan Bangunan membuat siasatan.

Lihatlah apa yang dipamirkan di sepanduknya "PERCUBAAN PERCUMA UNTUK MENYANYI".

Telahan saya benar berdasarkan bukti gambar di atas dan saya akan menunggu apakan tindakan lanjut yang akan dilakukan oleh Jabatan Bangunan dan Jabatan Pelesenan.


LAMBAT KERJA PEMBAIKAN KERB BOLEH MENGUNDANG KEMALANGAN

.

Ketika ini kerja-kerja pembaikan dan pemasangan semula 'kerb' di tepi jalan sepanjang Jalan Padi, Padi Mahsuri dan Padi Malinja sedang dilakukan oleh kontraktor yang dilantik oleh Majlis Bandaraya Johor Bahru.

Saya mendapati masalah yang berlaku di sini ialah kelewatan melaksanakannya berkemungkinan disebabkan oleh kekurangan pekerja. Soalnya ialah kelewatan ini boleh mengundang kemalangan apabila keadaan tepi jalan yang telah dikorek sedangkan pembaikan tidak dilakukan. Selain itu, banyak longgokan bahan binaan di tepi jalan untuk persiapan pembinaannya.

Saya mengharapkan Bahagian Jalan Jabatan Kejuruteraan dapat mengambil perhatian berat mengenai perkara ini.



LONGKANG TERSUMBAT SUDAH DIPERBAIKI

.
Akhirnya, longkang di belakang rumah-rumah diantara Jalan Sekoi dan Jalan Jagong 14 Bandar Baru Uda sedang dibuat pembaikan.

Saya telah melaporkannya sejak tahun lalu, sebelum lagi saya menjadi Ahli Majlis dan kini penduduk di situ telah merasa lega.

Malu juga saya kepada penduduk di sini kerana Majlis lambat bertindak sedangkan mereka adalah ahli kumpulan Yassin dimana saya menjadi ketuanya.

LORI PAKIR DI SINI, SANGAT MERBAHAYA

.
Pihak berwajib hendaklah mengambil tindakan segera kepada pemilik lori trailer berdaftar JHL3443 yang dipakir di Jalan Padi Mahsuri 1 Bandar Baru Uda berdekatan dengan bangunan TADIKA KEMAS dan Pangsapuri Ledang.

Saya tidak pasti mengapa pemandunya meletakkan kenderaan tersebut di situ. Berkemungkinan ia mendiami rumah berdekatan. Perbuatannya boleh mengundang bahaya kepada pengguna jalan raya lain terutama di waktu malam. Selain itu, ia telah menyalahgunakan laluan pejalan kaki disamping boleh merosakkannya.

Mengikut tanda di badan lori tersebut, ia kepunyaan sebuah syarikat berpejabat di Kulaijaya.

Majlis Bandaraya, PDRM dan JPJ hendaklah mengambil tindakan segera.

SAMPAH LAGI

.
Sampah lagi, sampah yang dibuang oleh mereka yang tidak mempunyai kesedaran sivik. Longgokan sampah ini lokasinya di Jalan Padi 9 berdekatan persimpangan Jalan Padi 10 Bandar Baru Uda.

Diharapkan SWM dapat membersihkannnya dan seterusnya tanda peringatan "Jangan Membuang Sampah Di Sini" hendaklah dipamirkan di sini. Selain itu "guard rail" atau ditanam dengan pokok bunga juga boleh mengelakkan dari pihak yang tidak bertanggungjawab membuang sampah di sini.


LAYAKKAH IA DINAMAKAN TAMAN PERMAINAN KANAK-KANAK

.
Saya paparkan di bawah gambar keadaan sebenar taman permainan kanak-kanak yang terletak di Jalan Padi 4, Bandar Baru Uda. Gambar ini yang saya ambil sekitar jam 7.30 pagi tadi menunjukkan bagaimana daifnya taman permainan ini dan bagaimana pula ia diuruskan.

Taman permainan ini mula digunakan pada tahun 1980 apabila penduduk mula berpindah ke kawasan penempatan baru yang dahulunya adalah kepunyaan Ladang Getah Lee. Penduduk di Fasa 1 sebanyak 500 unit rumah kos rendah berharga RM15,000 dan RM17,500 telah dibangunkan oleh UDA melalui anak syarikatnya, Syarikat Bandar Baru Uda Sdn Bhd (SBBU) terdiri dari penduduk marhain yang sebahagiannya adalah penduduk setinggan.

Setelah 30 tahun taman ini dimanfaatkan oleh penduduk di sini, Majlis Bandaraya Johor Bahru tidak sepatutnya membiarkan ia berkeadaan begini:
  • Alat permainan tidak boleh digunakan dan sangat merbahaya kepada pengguna
  • Banyak pokok bunga mati dan tidak diganti
  • Pokok bunga tidak dicantas
  • Banyak tanaman liar
  • Rumput tidak dipotong
  • Sampah sarap berselerakan
  • Tong sampah penuh sehingga sampah melimpah keluar
  • Banyak kaca dari botol kaca yang pecah
  • Pada waktu malam digunakan untuk kegiatan negetif dan tidak bermoral
Penduduk di Fasa 1 BBU menunggu jawapan dari Jabatan Landskap MBJB, bilakah keadaan ini akan berubah kerana mereka berpendapat ia sudah lagi tidak layak diberi nama taman permainan kanak-kanak.


Monday, May 10, 2010

KENAPA PEMBAIKAN BERPILIH

,
Saya pernah melaporkan pembaikan pejalan kaki ini terbiar sehingga membahayakan pengguna. Bagaimanapun, beberapa hari lalu, kerja-kerja tersebut telahpun diselesaikan.

Beginilah keadaan sebahagian dari pejalan kaki di Jalan Padi Mahsuri 1 yang telah siap diperbaiki.

Begitupun, di laluan yang sama, ada banyak tempat lagi yang perlu diperbaiki, mengapa tidak sekali?.

Lihat 2 gambar di bawah yang menunjukkan pejalan kaki yang rosak dan perlu pembaikan.

AIR BERTAKUNG DI JALAN PADI MAHSURI 1

.
Gambar ini diambil di Jalan Padi Mahsuri 1, Bandar Baru Uda. Ia menunjukkan air bertakung disebabkan tidak ada aliran keluar. Puncanya terdapat bendul jalan (hump) yang dibina di situ. Bendul ini penting kerana terdapat taman permainan bersebelahannya.

Apa yang perlu Majlis Bandaraya lakukan adalah membuat laluan atau lubang untuk mengalirkan air ke longkang berdekatan.

MASALAH SALURAN KUMBAHAN DI PANGSAPURI LEDANG

.
Gambar di atas tampak damai. 5 blog rumah pangsa kos rendah yang dikenali sebagai Pangsapuri Ledang, di Jalan Padi Mahsuri 1, Bandar Baru Uda.

Alhamdullillah, pihak Uda Land telahpun mengeluarkan perbelanjaan untuk kerja-kerja mengecat dan baru saja selesai beberapa bulan lalu.

Begitupun, kecantikan bangunan ini tidak memberi makna kepada penduduk di Blok N. Lihat gambar di bawah, penduduk telah mengalirkan air kumbahan ke longkang!.

Mengapa jadi begini?. Air kumbahan ini yang termasuk dari najis penduduk telah dialirkan tidak melalui saluran asal kerana telah tersumbat dan menyebabkan ia masalah besar di rumah masing-masing. Untuk mengambil jalan mudah, penduduk telah membuat saluran baru dan mengalirkannya ke longkang.

Sdr Azmi Tuganal, Ketua UMNO Cawangan telah menyuarakannya sejak beberapa bulan lalu. Berikutan darinya, program Gerak Mesra MBJB dan lawatan Ahli Parlimen Johor Bahru yang diadakan pada bulan lalu telah mempertemukan semua mereka yang terlibat bagi mencari jalan bagaimana mengatasi masalah tersebut.

Malangnya sehingga kini, tidak nampak sebarang jalan mengatasinya dan yang menjadi mangsa adalah penduduk yang terpaksa berhadapan dengan bau busuk dan masalah kesihatan.

Lihatlah apa yang ditunjuk oleh Sdr Azmi Tuganal di dalam aliran longkang.

Jawapannya, adalah ketulan najis manusia!. Tentulah ia satu pemandangan yang amat menjijikkan.

Kini, masalah ini telah berjangkit ke Blok N. Air kumbahan telah melimpah dan tidak lagi mengikut salurannya sebagaimana gambar tertera di bawah.

Penduduk Blok N kini berhadapan dengan bau busuk dan suasana tidak menyenangkan.

Persoalan yang perlu dilontarkan kepada pentadbiran Majlis Bandaraya adalah bila agaknya masalah ini akan diselesaikan?. Sebagai pemaju, Uda Land menyatakan bahawa sepatutnya Majlis Bandaraya yang bertanggungjawab kerana cukai harta telahpun dikutip.

KARAOKE BERSEBELAHAN PREMIS YAYASAN MASJID JAMEK BBU

  1. .
2 unit kedai bersebelahan Fish N Pet yang telah siap diubahsuai
dengan 24 bilik di dalamnya

Saya diberitahu, unit premis no. 9 dan 11 di Jalan Padi Emas 6/2 telah diubahsuai untuk perniagaan karaoke.

Bagi saya, perniagaan ini tidak bermasalah kiranya ia digunakan untuk tujuan yang baik seperti untuk latihan nyanyian dan juga untuk kegiatan keluarga. Namun yang menjadi kebimbangan saya apabila diberitahu kedua-dua unit ini telah diubah kepada 24 bilik dan akan mula beroperasi pada minggu hadapan.

Saya telah menghubungi Hj Ibrahim Hamdan, Pengarah Bangunan MBJB dan meminta maklumat darinya samada permohonan atau kelulusan telah diberi untuk membuat ubahan bangunan tersebut.

Masalah lain yang akan berbangkit adalah kemungkinannya perniagaan ini akan mengadakan jualan minuman keras selain mungkin menyediakan pelayan wanita (GRO).

Sebagai Ahli Majlis bagi Zon Bandar Baru Uda, saya akan cuba memastikan tiada sebarang perniagaan yang boleh menyebabkan kerosakan dan keruntuhan moral. Ia ada kaitan dengan majoriti penduduk kawasan ini adalah masyarakat Melayu dan beragama Islam.

Pengusaha karaoke ini mungkin tidak mengetahui bahawa pemilik bangunan bersebelahannya adalah Yayasan Masjid Jamek Bandar Baru Uda yang mungkin akan menggunakannya sebagai kelas pengajian agama dan al-Quran.

JAWAPAN KEPADA MASALAH AIR PAIP DI BLOK R, PANGSAPURI LEDANG

.
Paip jenis GI ini yang perlu ditukar kepada jenis Poly

Saya telah mendapat maklumat bahawa bekalan air yang disalurkan oleh SAJ ke kawasan Bandar Baru Uda tidak mempunyai sebarang masalah terutama tekanan air.

Mengenai masalah yang dibangkitkan oleh penduduk di Blok R, Pangsapuri Ledang, sebab yang dikenalpasti adalah saluran paip yang masih menggunakan jenis Galvaniel Iron (GI). Paip jenis ini mudah berkarat, apatah lagi ia telah digunakan sejak tahun 1990.

Mengikut Sdr Azmi Tuganal, ketua masyarakat di pangsapuri ini, beberapa penduduk telah mengambil inisiatif dengan menukarkan paip jenis GI ini kepada jenis Poly. Mereka yang telah mengambil tindakan ini tidak lagi mengalami masalah bekalan air.

Paip jenis Poly ini lebih baik kerana ia mempunyai kelebihan berbanding GI seperti boleh digunakan dalam pelbagai keadaan, ringan, mudah diperolehi dan tidak mudah berkarat. Dari segi harga juga ia lebih murah.

Badan Pengurusan sepatutnya bertanggungjawab menukar paip ini. Namun masalah kewangan atau dana yang tidak mencukupi menjadi penghalang. Pengerusi JMB Pangsapuri Ledang, Sdr Zainal Abd Rahim yang ditemui mengharapkan sokongan dari pemilik rumah untuk membayar yuran bulanan.

Tidak hairanlah apabila Sdr Azmi Tuganal telah membelanjakan hampir RM1,000 untuk menukarkan kepada paip Poly dan memberi kelegaan kepada 16 unit pemilik rumah di Blok N.

Kepada pemilik rumah yang lain, mereka hendaklah mengambil tindakan yang sama dengan membincangkannya bersama 15 pemilik di dalam blog yang sama. Atau membayar yuran pengurusan bulanan tanpa gagal.

Dengan cara ini, masalah bekalan air akan dapat diselesaikan.

Tuesday, May 4, 2010

MASALAH AIR PAIP DI BLOK R, PANGSAPURI LEDANG

.
Saya telah mendapat aduan dari Alena Ena, seorang penduduk di Blok R, Pangsapuri Ledang, BBU tentang tekanan air yang terlalu rendah dan amat menyukarkan untuk membuat kerja-kerja rumah seperti membasuh kain baju dan memasak.

Katanya, masalah ini lebih ketara pada hari minggu atau hari tidak bekerja sehingga tiada air langsung. Mereka bertanggapan salur paip utama dari tangki ke rumah sudah berkarat dan perlu dibersihkan.

Saya akan cuba menghubungi Syarikat Air Johor Bhd terlebih dahulu untuk mendapatkan kepastian tentang tekanan air.

SIAPA PUNYA KERJA MELONGGOK SAMPAH DI SINI

.
Saya terjumpa longgokan sampah di belakang bangunan restoran Selera Rahmat, Jalan Padi Ria 13, Bandar Baru Uda.

Tidak pasti siapa yang melonggokkannya di atas longkang yang boleh menyebabkannya tersumbat.

SWM akan dihubungi untuk membersihkannya.