Wednesday, June 30, 2010

UCAPAN SAYA DI MESYUARAT PENUH MBJB BAGI BULAN JUN 2010

/
Berikut adalah ucapan saya dalam mesyuarat penuh bulan Jun yang telah diadakan pada hari Rabu 30.6.2010:-

Yang Berbahagia Tuan Haji Mohd Jaafar bin Awang, Datuk Bandar Majlis Bandaraya Johor Bahru, Puan Ketua Whip dan Timbalan Ketua Whip, Rakan-Rakan Ahli Majlis, Ahli-ahli Yang Berhormat, Pemerhati-Pemerhati Majlis, Puan Timbalan Setiausaha Majlis, Ketua-Ketua Jabatan, Ahli Ex-Officio dan semua yang hadir di dewan ini.


Terlebih dahulu, saya ingin mengucapkan kesyukuran ke hadrat Allah swt kerana dengan limpah kurnianya dapat kita bersama-sama dalam mesyuarat penuh hari ini. Saya juga ingin mengucapkan terima kasih kepada rakan-rakan Ahli Majlis yang telah memberi peluang untuk saya berucap bagi kali ketiga pada penggal perlantikan ini.


Hari ini, ucapan saya akan berkisar kepada beberapa perkara di dalam kawasan jagaan saya di Zon Bandar Baru Uda.


Sebagai Ahli Majlis di kawasan ini, tentulah menjadi tanggungjawab saya untuk membawa beberapa perkara di dalam mesyuarat ini semoga ia mendapat perhatian dan tindakan sewajarnya.


Pertama adalah mengenai masalah saluran kumbahan di Flat Ledang yang telah tersumbat menyebabkan air kumbahan melimpah keluar dan mengeluarkan bau busuk. Penduduk pula bertindak memotong saluran dan mengalirkannya ke parit dan longkang di sekeliling bangunan hingga terlihat najis manusia di situ.


Keadaan ini menjejaskan keselesaan dan kehidupan harian 269 keluarga yang mendiami 5 buah blok bangunan.

Soalnya ialah bagaiamana mendapatkan kualiti hidup yang baik dan selesa apabila mereka berada di kawasan yang dilimpahi air kumbahan yang busuk dan meloyakan setiap hari.


Saya sedar pegawai-pegawai Majlis Bandaraya memahami masalah ini dan telah mengemukakan kertas kerja agar pembiayaan dapat dilakukan, namun kami Ahli-Ahli Majlis sendiri telah menolaknya kerana dikhuatiri menjadi satu ikutan disebabkan tanggungjawab masih terletak kepada Badan Pengurusan atau Badan Pengurusan Bersama (JMB).


Apa yang menjadi masalah besar di sini adalah apabila Badan Pengurusan tidak mempunyai cukup kewangan untuk membiayainya.


Untuk makluman Datuk Bandar dan Ahli-Ahli Majlis, Jawatankuasa Badan Pengurusan Bersama (JMB) mulai awal tahun ini telah menggerakkan usaha mengutip yuran pengurusan bulanan, namun ia masih tidak dapat mencapai sasaran kerana tidak sampai 50 peratus pemilik rumah yang membayar.


Perkara penting yang ingin disampaikan di sini ialah penduduk sedar beberapa kerosakan dan kehilangan beberapa penutup di ‘man hole’ untuk ‘inspection chamber’ atau ‘IC’ juga boleh menyebabkan masalah berkenaan. Namun, pihak pemaju iaitu Uda Land Sdn Bhd sepatutnya bertanggungjawab memperbaikinya disebabkan penduduk mengatakan saluran sistem kumbahan di Fasa 2 Bandar Baru Uda memang bermasalah. Buktinya, beberapa bulan ini terdapat 3 tempat menghadapi masalah tersumbat iaitu di Flat Ledang, Jalan Padi Huma dan Jalan Padi Malinja 7.


Saya ingin mengulangi janji pegawai-pegawai Uda Land semasa lawatan Ahli Parlimen Johor Bahru, Datuk Seri Utama Shahrir Abd Samad tempoh hari dan disaksikan oleh beberapa orang pegawai Majlis yang mengatakan pemaju bersedia untuk memperbaikinya sekiranya Majlis Bandaraya bersedia mengambilalih STP Fasa 2P ini.


Bagi saya, di sinilah penyelesaiannya apabila Majlis Bandaraya bersedia untuk mengambilalih STP ini.


Saya percaya sesuatu boleh dilakukan untuk kita mengambilalih STP yang dimaksudkan dengan sedikit pengecualian agar masalah di Flat Ledang ini tidak berpanjangan. Ingatlah bahawa mereka yang mendiami kawasan perumahan ini sejak lebih dari 20 tahun lalu adalah penduduk berpendapatan rendah yang amat memerlukan pelbagai bantuan dan bimbingan agar mereka dapat hidup selesa sebagaimana rakan-rakan lain yang berada di persekitaran Bandar Baru Uda yang begitu selesa, indah dan harmoni.



Yang Berhormat Datuk Bandar serta rakan-rakan Ahli Majlis.


Perkara kedua yang ingin saya bangkitkan di mesyuarat ini adalah masalah yang pernah saya bawa berulangkali sebelum ini samada di mesyuarat penuh atau di mesyuarat jawatankuasa iaitu mengenai penguatkuasaan mengikut Akta Jalan, Parit dan Bangunan di Bandar Baru Uda.


Saya tidak nafikan bahawa kita telah bertindak kepada mereka yang telah melakukan pelbagai kesalahan. Di dalam beberapa tindakan, biasanya kita akan mengenakan kompaun kepada mereka dan ada juga yang telah dibawa ke mahkamah untuk pendakwaan.


Segala tindakan yang telah kita lakukan tidak diketahui oleh rakyat atau orang awam di Bandar Baru Uda, seolah-olah Majlis Bandaraya sengaja memejamkan mata ke atas kesalahan yang telah mereka lakukan. Mereka hanya mengetahui bahawa pada tahun lalu, Majlis Bandaraya telah merobohkan bangunan tambahan kepunyaan Restoran Alif yang tidak mendapat kelulusan.


Saya pernah mengatakan bahawa penduduk Bandar Baru Uda memuji tindakan berani yang hanya sekali ini walaupun mereka yang memuji inipun diantaranya duduk di bawah-bawah bumbung bangunan tambahan haram di Restoran Osman, Habs dan sebagainya.


Yang Berhormat Datuk Bandar serta rakan-rakan Ahli Majlis.


Saya menyebut perkara ini kerana teramat sangat kecewa dengan apa yang telah kita lakukan. Terus terang saya katakan bahawa saya telah berulangkali dihubungi oleh pengendali restoran dan pemilik bangunan serta orang-orang tertentu yang katanya untuk berunding. Saya tetap bertegas, bukan kerana untuk mencari nama seperti beberapa orang yang pernah menuduh saya begitu, tetapi ini adalah satu amanah dan tanggungjawab yang mesti kita lakukan, bukan sahaja di dunia, bahkan di akhirat pasti kita dipersoalkan.


Saya pernah bertanya, bila lagi bangunan ini akan dirobohkan setelah 5 orang penyewanya berpindah keluar dari situ?. Sebaliknya makin banyak kerusi meja dan peniaga baru dibawa masuk serta meletakkan kemah dan bangunan di situ.


Apa yang hendak saya perkatakan apabila segala tindakan kita selama ini dipandang remeh bahkan tidak diperdulikan langsung. Lebih malang apabila mereka terus terusan melanggar segala kesalahan bukan sahaja mengikut Akta Jalan, Parit dan Bangunan tetapi juga akta-akta dan peraturan yang lain.


Sebelum ini, khemah kepunyaan salah seorang Ahli Majlis yang dikatakan tidak mempunyai kebenaran telah dirobohkan, mengapa yang ini tidak diambil tindakan?.


Apa yang patut dilakukan ialah robohkan saja bangunan bumbung di laluan awam ini kerana ia memang telah melakukan kesalahan. Kalau restoran Alif boleh, mengapa ini tidak boleh?.


Yang Berhormat Datuk Bandar serta rakan-rakan Ahli Majlis.


Perkara ketiga yang ingin saya bawa adalah mengenai pelbagai kain rentang, bunting, pelekat, paparan dan sebagainya di zon Bandar Baru Uda.


Perkara yang saya bawa ini tidak termasuk poster dan pelekat Along kerana perkara ini telah berulangkali dibangkit sehingga menjadi isu nasional.


Dalam isu ini, kawasan saya adalah diantara tempat tumpuan mereka yang ingin mendapatkan tarikan pelanggan sehingga begitu banyak paparan dan tampalan sehingga menyakitkan mata yang memandang.


Tuan-tuan boleh melihat di sekeliling jalan berdekatan bangunan Angsana, di Jalan Padi Emas, Jalan Padi Mahsuri dan berdekatan Masjid Jamek Bandar Baru Uda.


Kalaulah segala tiang-tiang lampu, telefon dan sebagainya boleh berkata-kata, tentulah ia akan mengeluh kerana tidak diberi peluang untuk tiang-tiang ini diberi cuti dan dibersihkan. Pada setiap masa, pasti ada sahaja paparan dan tempelan yang tergantung dan ditampal.


Mungkin Yang Berhormat Datuk Bandar dan rakan-rakan Ahli Majlis akan mengatakan ia adalah perkara biasa. Tetapi bagi saya ia adalah luar biasa kerana ia tidak mencerminkan apa yang kita mahukan.


Sekarang, kita boleh melihat banyak bunting yang tidak mendapat kebenaran telah dipasang di tempat yang telah saya sebutkan tadi. Kalau dahulu, saya pernah mengatakan bahawa gedung kain Jakel yang selalu melakukan kesalahan, tetapi kini ia telah diikuti oleh pihak lain yang menyebabkan kita rugi dalam konteks kewangan.


Ada juga diantara kesalahan yang dilakukan ialah mereka mendaftarkan hanya sebahagian kecil sedangkan lebih banyak paparan yang tidak didaftarkan sehingga melibatkan kerugian yang banyak.


Saya terasa malu apabila ada diantara warga bandaraya bertanya mengapa ada bunting yang telah koyak rabak kerana sudah berbulan-bulan terpasang dan ada yang berlapis-lapis, bertindih-tindih sehingga menampakkan tidak ada pengawasan dari Majlis Bandaraya.


Mengapa mereka berani melakukannya, tidak lain kerana atas kelemahan penguatkuasaan kita.


Saya ingin mengulangi cadangan supaya bagi mereka yang telah melakukan kesalahan agar diturunkan semua paparan, kompaun, beri amaran dan akhirnya tidak dibenarkan atau tidak diberi kelulusan. Ia adalah sebagai satu pengajaran kepada pihak yang lain selain menghormati undang-undang yang dikuatkuasakan.


Yang Berhormat Datuk Bandar serta rakan-rakan Ahli Majlis.


Di Zon Bandar Baru Uda terdapat beberapa buah sekolah samada sekolah menengah, sekolah kebangsaan atau sekolah agama. Diantaranya, sekolah-sekolah ini terletak berkumpul di susur Jalan Tun Abd Razak sehingga menyesebabkan kesesesakan ketika waktu puncak iaitu ketika pelajar masuk dan keluar sekolah. Sekolah-sekolah tersebut adalah Sekolah Menengah Tasek Utara, Sekolah Menengah Teknik, Sekolah Menengah Perdagangan, Sekolah Menengah Tasek Utara 2 dan Sekolah Kebangsaan Tasek Utara.


Untuk mengelakkan dari berlakunya kesesakan dan kemalangan, saya ingin mencadangkan jalan-jalan yang digunakan dapat dilebarkan dan disediakan laluan untuk pejalan kaki.


Saya dapati memang ada pejalan kaki yang sedang dibina tetapi ia tidak mencukupi terutama yang berdekatan dengan Sekolah Menengah Tasek Utara 2 dan Sekolah Kebangsaan Tasek Utara.


Oleh itu, saya ingin mencadangkan supaya kedua-dua sekolah ini diberi keutamaan disebabkan ia agak tersorok dan dikelilingi oleh belukar.


Yang Berhormat Datuk Bandar serta rakan-rakan Ahli Majlis.


Seperkara lagi yang ingin saya bawa di mesyuarat ini adalah mengenai larangan Allah SWT kepada peniaga-peniaga khususnya kaum lelaki beragama Islam yang tidak menutup perniagaannya sewaktu solat Jumaat.

Saya rasa ramai diantara kita yang pernah mendengar dan mungkin juga hafal dengan surah al-Jumaat ayat 9 yang berbunyi:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا إِذَا نُودِي لِلصَّلَاةِ مِن يَوْمِ

الْجُمُعَةِ فَاسْعَوْا إِلَى ذِكْرِ اللَّهِ وَذَرُوا الْبَيْعَ ذَلِكُمْ

خَيْرٌ لَّكُمْ إِن كُنتُمْ تَعْلَمُونَ

Ertinya: Hai orang-orang yang beriman, apabila diseru untuk menunaikan sembahyang pada hari Jumaat, maka bersegeralah kamu kepada mengingat Allah dan tinggalkanlah jual beli. Yang demikian itu lebih baik bagimu jika kamu mengetahui.


Yang Berhormat Datuk Bandar serta rakan-rakan Ahli Majlis.


Mengapa saya membaca ayat ini. Ini adalah kerana masjid di zon saya, Masjid Jamek Bandar Baru Uda berdekatan dengan kawasan perniagaan dimana lebih 80 peratus peniaganya adalah orang-orang Islam.


Pada setiap hari Jumaat, saya dapati terdapat mereka yang tidak menunaikan solat Jumaat termasuk pekerja peniaga berkenaan. Soal samada mereka menunaikan solat atau tidak, itu merupakan soal peribadi masing-masing, walapun ada arahan dalam agama untuk mengambil tindakan kepada mereka yang tidak menunaikan solat lebih dari 3 kali berturut-turut.


Apa yang ingin saya bangkitkan di sini ialah terdapatnya pelajar sekolah yang berada di dalam premis perniagaan ini termasuk yang berada di beberapa perniagaan cyber café.


Oleh yang demikian, saya ingin mencadangkan sebagai percubaan agar dibuat satu peraturan untuk menggalakkan pekedai beragama Islam di Bandar Baru Uda menutup perniagaan sewaktu bermulanya solat Jumaat hingga selesai.


Saya yakin dan percaya bahawa ia akan mendapat sambutan kerana pada ketika ini telahpun ada beberapa perniagaan yang telah melakukannya.


Dan yang pasti ialah apabila Restoran Osman juga turut melakukannya, maka kita berjaya menutup restoran ini yang beroperasi 24 jam walaupun hanya untuk tempoh 1 ½ jam bagi seminggu.


Yang Berhormat Datuk Bandar serta rakan-rakan Ahli Majlis.


Apakah saranan kita dalam ucapan penangguhan ini akan hanya berakhir di sini?. Saya pulangkan kepada Datuk Bandar untuk menjawabnya kerana setelah 2 kali saya berucap, saya tidak tahu secara jelas apakah tindakan yang telah dilakukan. Sebagai satu contoh kecil yang sentiasa diingati oleh Ahli Majlis adalah apabila Datuk Bandar berjanji untuk membekalkan smartphone Black Barry kepada Ahli Majlis dan telah saya sentuh dalam ucapan saya pada bulan Januari lalu, tetapi tidak ada sebarang tindakan mahupun jawapan.


Yang penting adalah tindakan, ataupun sekurang-kurangnya jawapan pada perkara yang dibangkitkan di dalam ucapan penangguhan seperti hari ini, sebelumnya dan untuk masa yang akan datang.


Maaf saya pinta terutama kepada Yang Berbahagia Datuk Bandar sekiranya ia menyinggong atau menyakitkan.


Wassallam.



Sunday, June 20, 2010

BAIKI LONGKANG PECAH

.
Gambar di atas adalah longkang yang pecah di hadapan rumah No. 32 Jalan Jagong, BBU berdekatan persimpangan Jalan Jagong 11.

Saya diberitahu longkang pecah ini menyebabkan berlaku lubang sehingga menyebabkan biawak banyak di kawasan ini.

Perkara ini telah dilaporkan kepada Ahli Majlis sebelum ini dan tiada sebarang tindakan yang dilakukan oleh pihak Majlis Bandaraya.

Saturday, June 19, 2010

LAMPU PERLU DIPASANG DI TIANG INI

.
Sebatang tiang lampu TNB bernombor JJ16-9 perlu dipasang lampu kerana ia terletak di penghujung Jalan Jagong 16 dan keadaan di sekitarnya amat gelap pada waktu malam.

Lampu amat penting di sini bagi menerangi kawasan ini kerana ia kerap digunakan oleh pejalan kaki yang melaluinya. Jalan ini yang berdekatan dengan Jalan Jagong 18 adalah satu-satunya jalan yang digunakan oleh mereka yang dapat menghubungi kawasan Flat Ledang.

Wednesday, June 16, 2010

LAMPU TIDAK MENYALA DI JALAN PADI EMAS 2 BBU

.
Laporan yang saya terima dari Puan Zaleha, pemilik Su Homemade Cookies Enterprise menyatakan tentang 2 lampu yang tidak menyala di tiang berdekatan bangunan kedainya yang beroperasi di No. 2, Jalan Padi Emas 2, Bandar Baru Uda.

Katanya, kedua-dua lampu yang berkedudukan bersebelahan telah tidak menyala sejak setahun lebih yang lalu. Beliau pernah menghubungi bahagian Aduan MBJB dan diberitahu ia bukan tanggungjawab Majlis Bandaraya, sebaliknya tanggungjawab pemaju iaitu Udal Land.

Saya akan bawakan perkara ini ke pentadbiran Majlis Bandaraya agar ia dapat diambil tindakan segera kerana ia telah menjejaskan perniagaan di kawasan perniagaan.

Thursday, June 10, 2010

PENUTUP LONGKANG PECAH

.
Penutup longkang berdekatan Baazar Kedai Rakyat yang menjual sayur-sayuran, ikan, daging dan sebagainya telah pecah angkara sebuah lori 4 tan yang melalui di atasnya.

Keadaan ini amat merbahaya kepada pengguna jalanraya terutama yang berurusan dengan kedai berkenaan.

Diharap Majlis Bandaraya dapat mengambil tindakan segera untjuk memperbaikinya.

Wednesday, June 9, 2010

PERLUKAH FAMILY KARAOKE DI BANDAR BARU UDA

.
Isu Pusat Karaoke Doremi yang wujud di Jalan Padi Emas 6/2 Bandar Baru Uda menarik perhatian saya samada ia perlu diberi kebenaran atau sebaliknya.

Pagi semalam, saya telah meminta pandangan dari Setiausaha dan Bendahari Masjid Jamek Bandar Baru Uda. Saya telah melontarkan pandangan agar pentadbiran masjid mengemukakan surat bantahan sekiranya tidak bersetuju atas kewujudannya.

Dalam perbincangan ini, perkara utamanya ialah apakah family karaoke atau karaoke keluarga ini boleh menyebabkan keruntuhan akhlak dan moral atau menimbulkan permasalahan lain. Selain itu apakah ia tidak mengikut peraturan yang disyaratkan oleh Majlis Bandaraya.

Kesimpulannya ialah pentadbiran masjid tidak bersedia untuk mengemukakan surat bantahan.

Malam tadi, saya membawa Jawatankuasa Penduduk Zon BBU iaitu Hj Mohd Said Ibrahim yang juga mantan Ahli Majlis (Zon BBU) dan Hj Nasaruddin Yunus untuk melihat persekitaran dan suasana dalam karaoke tersebut.

Dalam temubual bersama Encik Louis Lim yang mengaku sebagai ketua kepada beberapa orang pekerja Melayu, perkara ini diberitahu:-
  • Masih belum mendapat lesen hiburan dan kelulusan Majlis Bandaraya
  • Pusat hiburan berkonsep karaoke keluarga
  • Mempunyai 22 bilik yang akan dibuka dari jam 11 hingga 1 pagi
  • Bilik kedap bunyi dan tidak didengar dari luar
  • Tiada jualan minuman keras
  • Tiada pegawai perhubungan pelanggan wanita (GRO)
  • Menyediakan jualan makanan seperti nasi lemak dan sebagainya
  • Tiada disco dan live band
Sebelum meninggalkan pusat ini, saya mengingatkan Louis Lim:-Mendapatkan lesen hiburan dan lesen-lesen lain yang dikeluarkan oleh pihak berwajib
  • Tidak melanggar syariat dan peraturan yang ditetapkan
  • Pastikan tempat beriadah bersama keluarga
  • Boleh menjalankan tuntutan agama seperti menyediakan tempat bersolat
  • Tidak disalahgunakan terutama golongan remaja
  • Pastikan pengunjung menjaga tingkah laku dan tidak melakukan maksiat
Hj Mohd Said cuba menggunakan pembesar suara

Minuman panas dan mineral yang disediakan

Harga minuman tabg dipamirkan

Minuman sejuk tanpa jualan arak

Minuman panas di kaunter hadapan

BEGINIKAH TULISAN JAWI

.
Saya terpanggil untuk melaporkan perkara ini hasil dari pandangan mata yang amat menyakitkan. Saya ternampak signboard Klinik Setia & Surgeri ketika melalui Taman Setia Tropika di Kempas Johor Bahru.

Apa yang menarik perhatian saya adalah tulisan jawi yang sangat sukar untuk dibaca. Usaha klinik ini memaparkannya patut diberi pujian tetapi gaya tulisannya amat memalukan.

Demi menjaga maruah tulisan jawi, saya mengharapkan Majlis Bandaraya menurunkan signboard tersebut dan seterusnya meminta klinik berkenaan menggunakan tulisan yang betul.

Dalam hubungan ini, Persatuan Seni Khat Negeri Johor boleh dihubungi untuk meminta kerjasama sebagaimana khidmat Dewan Bahasa dan Pustaka digunakan untuk mempastikan penggunaan bahasa Malaysia yang betul.

KEJADIAN RAGUT DAN MAKSIAT SERING BERLAKU DI KAWASAN INI

.
Saya diberitahu bahawa kejadian ragut sering berlaku di laluan pejalan kaki antara Jalan Sekoi dan Jalan Jagong 12 berdekatan dengan sub-station TNB. Keadaan lebih teruk apabila semak samun di kawasan ini tidak ditebas atau dibersihkan.

Pagi tadi, saya menghubungi Encik Izan dari SWM supaya dapat mengambil tindakan segera dan alhamdullilah kawasan tersebut telah ditebas.

Selain kejadian ragut, saya juga diberitahu tentang pasangan yang sering bercengkerama dan mungkin melakukan perbuatan maksiat.

Saya mengharapkan pemilik rumah berhampiran dapat membersih dan menebas segala semak samun dalam kawasan rumah masing-masing di samping membuat pemantauan di kawasan berkenaan.

BUNTING BARU JAKEL

.
Kawasan perumahan Bandar Baru Uda memang sangat terkenal dengan gantungan pelbagai baner, bunting, poster dan sebagainya. Di setiap tiang elektrik dan talipon akan kelihatan bunting tergantung menjadikan keadaan persekitaran menjadi tidak ceria. Apatah lagi terdapat gantungan yang telah begitu lama sehingga berwarna pudar dan koyak rabak.

Apa yang berlaku di sini adalah tidak ada pemantauan dari Majlis Bandaraya walaupun telah diberitahu samada secara rasmi atau secara perjumpaan terus.

Perkara lain yang perlu diambil perhatian adalah samada ia mendapat permit dari Majlis selain paparannya yang mungkin tidak mengikut tata bahasa yang betul. Begitu juga dengan jualan murah samada ia mendapat kebenaran dari Kementerian Hal Ehwal Pengguna.

Gambar-gambar di bawah telah saya ambil di sekitar Bandar Baru Uda pada pagi tadi.

Monday, June 7, 2010

FAMILY KARAOKE SUDAH BEROPERASI

.
Telahan saya benar. Dua unit bangunan kedai di Jalan Padi Emas 6/2, Bandar Baru Uda telahpun memulakan operasinya iaitu perniagaan karaoke keluarga dengan nama Pusat Karaoke Doremi.

Sebelum ini saya telah melaporkannya di blog ini (klik) dan juga membawa di dalam mesyuarat Majlis Bandaraya agar tindakan segera dilakukan kerana tiada sebarang kelulusan telah diberi atas beberapa kegiatan seperti mengubahsuai bangunan dan sebagainya.

Sekarang ia telah beroperasi walaupun tiada sebarang kelulusan yang dikeluarkan oleh Majlis Bandaraya Johor Bahru maupun pejabat Daerah Johor Bahru.
.

BAGAIMANA MENGATASI MEREKA INI

.
Saya telah menghubungi SWM supaya sampah berlonggok di tepi Jalan Padi 9 berdekatan simpang Jalan Padi 10 dibersihkan. Alhamdullillah, mereka telah melakukannya, malangnnya, sampah-sampah mula bertimbun semula yang dilakukan oleh mereka yang tidak bertanggungjawab.

Amalan begini memang sering berlaku di negara kita. Bagaimana cara untuk mengatasinya, memang mereka yang melakukannya boleh dikenankan kompaun atau denda. Tatapi bagaimana mahu menjejakinya kerana mereka sering melakukannya di waktu malam.

Adalah dicadangkan supaya kawasan ini dipasang guard rail dan diberi tanda amaran selain di tanam dengan pokok-pokok bunga. Mungkin tindakan ini boleh memberi ingatan kepada mereka ini.

Wednesday, May 26, 2010

SAMPAH BERSERAKAN: KEMUNGKINAN ANGKARA PEKERJA SWM

.
Sekali lagi saya membawa perkara ini (klik sini), sampah bertaburan di hadapan Sekolah Kebangsaan Kompleks Uda.

Pengurusan sekolah dan PIBG sedar mengenai perkara ini dan sebab itu gotong royong yang dilakukan baru-baru termasuk juga membersihkan kawasan tersebut. Alhamdullillah, bersih.

Bagaimanapun, pagi tadi saya dapati sampah berserakan seperti gambar di atas. Ia mungkin disebabkan oleh pekerja SWM yang membawa keluar dari kawasan pengumpulan sampah di dalam kawasan sekolah. Kerja yang tidak berhati-hati dan dibuat secara tergesa-gesa menyebabkan keadaan demikian.

Insyaallah saya akan melaporkan perkara ini kepada pegawai SWM.

KARAOKE: SIGNBOARD PULA DINAIKKAN

.
Premis 9 & 11 Jalan Padi Emas 6/2 Bandar Baru Uda akan dijadikan premis hiburan (karaoke) sebagaimana yang telah saya laporkan sebelum ini (klik di sini).

Semalam, sekali lagi saya telah pergi ke premis ini. Saya dapati besi-besi telah dipasang untuk tujuan menaikkan signboard.

Sepengetahuan saya, tiada sebarang perbincangan atau kelulusan telah diberi untuk perniagaan ini.

Sekali lagi saya mengharapkan sesuatu tindakan drastik hendaklah dilakukan oleh Majlis Bandaraya.

JANGAN BIARKAN WARUNG WUJUD DI SINI

.
Gambar di atas memang cantik dan nampak tenang. Ia adalah kawasan letak kereta di Jalan Padi Emas 6/1 iaitu satu kawasan perniagaan yang beru beroperasi.

Waktu malam, di hujung jalan ini telah digunakan oleh peniaga warung menjual makanan.

Saya tidak pasti bagaimana peniaga ini mendapatkan sumber air dan bagaimana pula ia menjaga kebersihan.

Majlis Bandaraya mesti mengambil tindakan segera supaya tiada peniaga lain yang akan turut sama berniaga di sini.

PENUTUP LONGKANG PECAH DI SJKC FOON YEW 4

.
Aduan yang saya terima dari ibu bapa pelajar S.J.K.C. FOON YEW 4, Jalan Cenderasari, Larkin menyatakan banyak penutup longkang yang telah pecah sehingga boleh membahayakan pelajar dan mereka yang menggunakannya.

Saya telah melawat tapak dan mendapati benar aduan mereka. Terdapat 8 lubang yang perlu ditutup semula.

Diharapkan Jabatan Kejuruteraan Majlis Bandaraya Johor Bahru dapat mengambil tindakan segera.

BERTINDAKLAH SEGERA SEBELUM IA MENJADI IKUTAN

.
Gambar di atas menunjukkan sebuah kedai di Jalan Padi Emas 6/1 telah menjalankan kerja-kerja penambahan di atas petak letak motosikal. Saya yakin tidak ada sebarang kelulusan dari Majlis Bandaraya.

Lihat gambar di bawah, petak meletak motosikal ini akan hilang tidak berapa lama lagi. Ia akan digunakan sepenuhnya oleh pemilik perniagaan ini.

Untuk megetahui jenis perniagaanya, lihat gambar di bawah.

Saya percaya sekiranya Majlis Bandaraya tidak bertindak segera dengan merobohkannya, maka ia akan menjadi ikutan kepada peniaga lain khususnya di kawasan ini yang baru mula beroperasi.

Majlis Bandaraya pernah merobohkan binaan tambahan berdekatan kawasan ini tidak berapa lama dahulu. Tentulah tidak menjadi masalah kiranya tindakan sama dapat dilakukan di kawasan ini pula.

Tugas melaporkan telahpun saya lakukan dan bagaimana dengan tindakannya?.

Monday, May 24, 2010

BILA NAK DIPERBAIKI

.

Bahagian Jalan Jabatan Kejuruteraan patut melihat kerosakan ini yang berlaku di persimpangan Jalan Padi Malinja dan Padi Malinja 1, Bandar Baru Uda.

Kerosakan ini telah begitu lama dan ia dibiarkan begitu saja tanpa sebarang usaha untuk memperbaikinya.

Bila lagi?.

LONGKANG TERSUMBAT DI JALAN JAGONG 4

.
Saya telah diberitahu terdapat longkang tersumbat di belakang rumah No 6 Jalan Jagong 4, Bandar Baru Uda.

Saya telah melawat, melihat sendiri dan mendapati terdapat beberapa potong kayu serta sampah sarap yang memenuhi longkang berkenaan.

Selanjutnya, saya telah menghubungi Encik Izan, pegawai SWM dan meminta pekerjanya membersihkan longkang tersebut.

SARANG TEBUAN DI JALAN JAGONG 4

.
Pagi ini saya diberitahu oleh Hj Mahfoz Kassim tentang kewujudan sarang tebuan yang berada di pokok bersebelahan gelanggang futsal Jalan Jagong 4, Bandar Baru Uda.

Difahamkan tebuan ini adalah jenis berbahaya dan dikhuatiri membahayakan mereka yang menggunakan gelanggang futsal dan juga taman permainan selain mereka yang berulang alik ke surau Al-Falah.

Saya telah menghubungi Pengarah Landskap MBJB, Sdr Jalil Tasliman melalui khidmat pesanan ringkas agar mengambil tindakan segera.

PERCUBAAN PERCUMA UNTUK MENYANYI

.
Saya pernah melaporkan di blog ini tentang premis di no. 9 dan 11 Jalan Padi Emas 6/2 Bandar Baru Uda yang mungkin akan dijadikan perniagaan karaoke (lihat di sini). Dalam mesyuarat pelesenan yang minggu lalu, saya telah mengadukan perkara ini dan meminta Jabatan Bangunan membuat siasatan.

Lihatlah apa yang dipamirkan di sepanduknya "PERCUBAAN PERCUMA UNTUK MENYANYI".

Telahan saya benar berdasarkan bukti gambar di atas dan saya akan menunggu apakan tindakan lanjut yang akan dilakukan oleh Jabatan Bangunan dan Jabatan Pelesenan.


LAMBAT KERJA PEMBAIKAN KERB BOLEH MENGUNDANG KEMALANGAN

.

Ketika ini kerja-kerja pembaikan dan pemasangan semula 'kerb' di tepi jalan sepanjang Jalan Padi, Padi Mahsuri dan Padi Malinja sedang dilakukan oleh kontraktor yang dilantik oleh Majlis Bandaraya Johor Bahru.

Saya mendapati masalah yang berlaku di sini ialah kelewatan melaksanakannya berkemungkinan disebabkan oleh kekurangan pekerja. Soalnya ialah kelewatan ini boleh mengundang kemalangan apabila keadaan tepi jalan yang telah dikorek sedangkan pembaikan tidak dilakukan. Selain itu, banyak longgokan bahan binaan di tepi jalan untuk persiapan pembinaannya.

Saya mengharapkan Bahagian Jalan Jabatan Kejuruteraan dapat mengambil perhatian berat mengenai perkara ini.



LONGKANG TERSUMBAT SUDAH DIPERBAIKI

.
Akhirnya, longkang di belakang rumah-rumah diantara Jalan Sekoi dan Jalan Jagong 14 Bandar Baru Uda sedang dibuat pembaikan.

Saya telah melaporkannya sejak tahun lalu, sebelum lagi saya menjadi Ahli Majlis dan kini penduduk di situ telah merasa lega.

Malu juga saya kepada penduduk di sini kerana Majlis lambat bertindak sedangkan mereka adalah ahli kumpulan Yassin dimana saya menjadi ketuanya.