Wednesday, March 10, 2010

PENGHARAPAN 4 PENIAGA GERAI MAKANAN DI JALAN PADI EMAS 4/2 BBU

.
Semalam dipaparkan berita di Utusan Malaysia tentang 4 peniaga gerai makanan di Jalan Padi Emas 4/2, Bandar Baru Uda merayu kelulusan lesen sementara dari Majlis Bandaraya Johor Bahru.

Mohd Halim Shah Abd Manan yang mewakili peniaga berkenaan telah membuat permohonan sejak bulan Januari 2010 dan masih belum mendapat kelulusan.

Mengimbas kembali perniagaan mereka, ia bermula apabila beberapa orang dari mereka berniaga di ruang laluan di antara Restoran Habs dan Mydin dan diantaranya dikenakan bayaran sewaan sehingga RM1200 sebulan oleh pengusaha restoran.

Di tempat ini mereka berniaga tanpa mendapat kebenaran Majlis. Akibatnya, mereka diambil tindakan penguatkuasaan oleh Majlis.

Keadaan ini menyebabkan mereka merayu kepada Ahli Parlimen Johor Bahru untuk pembelaan kerana telah membayar sewa yang tinggi tetapi tidak dipertanggungjawabkan atas kebenaran Majlis.

Sebagai Ahli Majlis bagi Zon Bandar Baru Uda, saya telah membuat perbincangan dengan ADUN Tanjung Puteri, Pembantu Khas Ahli Parlimen Johor Bahru dan Pegawai Jabatan Pelesenan MBJB di Pejabat Yayasan Masjid BBU. Hasil perbincangan telah bersetuju untuk menempatkan secara sementara peniaga ini di ruang tempat letak kereta berdekatan surau yang dibina oleh Restoran Osman Sdn Bhd sementara menunggu memindahkannya di tempat yang sesuai.

Berikutan dari itu, saya telah membawa masalah peniaga gerai ini ke mesyuarat Jawatankuasa Pelesenan Majlis dan bersetuju mereka ditempatkan di tapak gerai Jalan

Di dalam beberapa kali perbincangan dan mesyuarat, saya telah menekankan supaya peniaga gerai ini diberi pembelaan sewajarnya kerana telah menjadi mangsa kerakusan peniaga besar yang sanggup melanggar segala peraturan dan undang-undang Majlis.

Semasa berucap pada Mesyuarat Penuh bulan Januari lalu, saya telah menyentuh perkara ini:

"Sebenarnya, kita boleh melakukan tugas dan amanah dengan baik dan berkesan. Buktinya, beberapa bulan lalu, penguatkuasa kita telah merobohkan binaan bangunan tambahan yang tidak mendapat kebenaran di Restoran Alif, Bandar Baru Uda. Saya ingin mengucapkan syabas atas tindakan ini dan ia memberi ingatan kepada pemilik bangunan lain untuk tidak melakukan kesalahan yang sama.

Begitupun, sebagai Ahli Majlis bagi Zon Bandar Baru Uda, saya ingin bertanya, mengapakah tindakan hanya kepada Restoran Alif sahaja?. Kenapa tidak pemilik lain seperti Restoran Osman di Jalan Padi Ria dan Jalan Padi Emas 4/5. Apakah mungkin kerana ia telah menjalankan perniagaan atau telah berurusan dengan pihak-pihak tertentu. Atau mungkin kerana ada diantara pemilik bangunannya adalah bekas Yang Dipertua salah sebuah majlis tempatan di negeri ini, maka kita tidak berani bertindak?.


Kita mungkin hanya berani bertindak kepada peniaga-peniaga kecil dan warung yang ditindas oleh peniaga gergasi yang telah saya nyatakan termasuk Pasaraya Mydin, Restoran Osman dan Restoran Habs.


Bilakah tindakan meroboh bangunan-bangunan tambahan termasuk bumbung penghubung diantara Pasaraya Mydin dan Restoran Habs akan dilakukan. Bumbung yang telah disalahgunakan ini telah menyebabkan peniaga warung yang tidak mempunyai kepintaran teraniaya dengan sewaan gerai yang bukan haknya sehingga RM1200 sebulan.


Saya pernah menjelaskan kepada Datuk Bandar tentang perkara ini dan pada hari ini, saya ingin mengulangi dan menegaskan sekali lagi bahawa tindakan penguatkuasaan oleh Majlis Bandaraya terutama kepada pasaraya dan restoran yang telah saya nyatakan tadi, akan mendapat sokongan dan dokongan dari warga penduduk Bandar Baru Uda bahkan oleh Ahli Majlis, Ahli Dewan Undangan Negeri serta Ahli Parlimen Johor Bahru sendiri.


Begitupun, segala usaha hendaklah juga dilakukan untuk membantu peniaga kecil yang tertindas seperti menyusun semula penempatan mereka atau memberi peluang berniaga di tempat lain sekiranya ada kekosongan.


Saya sedar, ramai lagi peniaga warung yang berniaga di pinggir jalan dan di laluan pejalan kaki di kawasan ini dan juga sekitar lain di Bandar Baru Uda. Kebanyakan mereka juga tidak mendapat lesen atau kebenaran Majlis. Mereka juga sentiasa berhadapan dengan tindakan penguatkuasaan terutama dengan aduan orang awam disebabkan mengganggu lalulintas dan sebagainya.


Ketika ini, peniaga gerai makan yang diwakili oleh Mohd Halim telah mengeluarkan perbelanjaan untuk mendirikan gerai dan melakukan tanggungjawab dengan mempastikan kebersihan gerai. Begitupun, kita tidak dapat mengelak dari bantahan dan aduan orang awam kerana kewujudannya telah menyebabkan kesesakan apatah lagi ia berdekatan dengan pasaraya dan restoran yang melakukan pelbagai kesalahan.


Sebagai Ahli Majlis kawasan ini, pendirian saya jelas:-

  • Berikan 4 peniaga gerai makanan ini lesen sementara
  • Benarkan mereka berniaga selagi Majlis Bandaraya tidak merobohkan bangunan tambahan yang tidak mendapat kelulusan seperti di Restoran Habs, Mydin, Restoran Osman dan lain-lainnya.
  • Mereka ditempatkan di tapak gerai yang telah dipersetujui dengan kerja-kerja meratakan tapak dan keperluan lain dilaksanakan terlebih awal.
Saya berharap segala tindakan dan pelaksanaan yang dilakukan oleh Majlis Bandaraya Johor Bahru akan mencerminkan ketelusan dan kesungguhan yang akan memberi impak berkesan demi kualiti hidup penduduk Bandaraya Johor Bahru khususnya Bandar Baru Uda.





Tuesday, March 2, 2010

KEPERLUAN MEMASANG KAIN RENTANG DAN BANTING DENGAN KEMAS

.
Tidak dinafikan pemasangan kain rentang dapat menambahkan pendapatan Majlis. Bagaimanapun, pemasangan yang tidak dikawal boleh menyebabkan pemandangan di sesuatu kawasan menjadi bertambah buruk.

Saya melihat kain-kain rentang yang dipasang di kawasan Perbadanan Putrajaya begitu kemas dan cantik.

Berbeza dengan kain rentang yang dipasang di MBJB. Sebagai contoh, saya pamirkan tempat yang dikhaskan untuk pemasangannya di simpang empat Jalan Padi Emas/Jalan Padi Mahsuri.


Kain-kain rentang tidak diikat kuat sehingga menyebabkan koyak, berlipat serta berkibar ditiup angin.

Begitu juga dengan pemasangan banting. Terdapat banyak yang tidak mendapat kelulusan Majlis. Terdapat banyak banting dan kain rentang yang tidak diturunkan walaupun masa yang dibenarkan telah berlalu.

Majlis Bandaraya Johor Bahru mempunyai tatacara dan peraturan memasang sepanduk dan banting dalam kawasan Majlis. Syarat seperti:
  • Mengutamakan penggunaan Bahasa Malaysia
  • Tidak menghalang lalulintas
  • Mengemukakan contoh iklan beserta dokumen lain
  • Mencatatkan nombor kelulusan Majlis serta tarikh dibenar dan lupus pemasangan
  • Menurunkan iklan selepas tamat tempoh
perlu diambil perhatian selain beberapa perkara lain seperti bahasa dan ejaan yang jelas dan dapat difahami serta memasang dengan kemas.

Mana tanda kebenarang memasangnya?

Sebagai pihak yang berkuasa, penguatkuasaan perlu dijalankan dengan membuat pemantauan berkala mengikut kemampuan anggota untuk mempastikan semua iklan yang dipasang nampak kemas dan cantik.

HENTIKAN SEGERA UBAHAN BANGUNAN

.
Pekerja sedang membina garaj atau soyok

Kerja-kerja ubahan rumah setingkat kepada dua tingkat di no 70 Jalan Padi Mahsuri 1/1, Bandar Baru Uda menarik perhatian orang awam yang melaluinya. Ini disebabkan lokasinya di penjuru Jalan Padi Mahsuri 1/1 dan Jalan Padi yang merupakan laluan utama penduduk di kawasan ini.

Selain itu, deretan rumah di Jalan Padi Mahsuri 1/1 ini adalah rumah berbandung setingkat. Apabila ia diubah menjadi dua tingkat, pastinya menjadi persoalan samada ia dibenarkan atau telah mendapat kelulusan dari pihak berwajib.

Saya telah membuat semakan dan mendapati pelan ubahannya telah mendapat kelulusan dari MBJB selain Pejabat Tanah juga telah memberi kelulusan menukarkan statusnya dari setingkat kepada dua tingkat.

Beberapa persoalan timbul apabila terdapat beberapa aduan mengenai pembinaan yang sedang rancak dijalankan. Diantaranya, mengenai jarak atau gap antara rumah yang sedang dibina dengan rumah bersebelahan dan juga pembinaan garaj kereta (soyok) yang mencecah ke pagar tentunya tidak mendapat kebenaran dari Majlis.

Beberapa kali perbincangan telah saya lakukan dengan Pengarah Bangunan MBJB agar teguran dan tindakan penguatkuasaan dilakukan, malangnya pembinaan terus berjalan.

Malam tadi, saya tidak mempunyai cara lain untuk mengatasi masalah aduan dari orang ramai selain meminta Datuk Bandar memberhentikan segera pembinaan bangunan berkenaan.
.