Berikut adalah ucapan saya dalam mesyuarat penuh bulan Jun yang telah diadakan pada hari Rabu 30.6.2010:-
Yang Berbahagia Tuan Haji Mohd Jaafar bin Awang, Datuk Bandar Majlis Bandaraya Johor Bahru, Puan Ketua Whip dan Timbalan Ketua Whip, Rakan-Rakan Ahli Majlis, Ahli-ahli Yang Berhormat, Pemerhati-Pemerhati Majlis, Puan Timbalan Setiausaha Majlis, Ketua-Ketua Jabatan, Ahli Ex-Officio dan semua yang hadir di dewan ini.
Terlebih dahulu, saya ingin mengucapkan kesyukuran ke hadrat Allah swt kerana dengan limpah kurnianya dapat kita bersama-sama dalam mesyuarat penuh hari ini. Saya juga ingin mengucapkan terima kasih kepada rakan-rakan Ahli Majlis yang telah memberi peluang untuk saya berucap bagi kali ketiga pada penggal perlantikan ini.
Hari ini, ucapan saya akan berkisar kepada beberapa perkara di dalam kawasan jagaan saya di Zon Bandar Baru Uda.
Sebagai Ahli Majlis di kawasan ini, tentulah menjadi tanggungjawab saya untuk membawa beberapa perkara di dalam mesyuarat ini semoga ia mendapat perhatian dan tindakan sewajarnya.
Pertama adalah mengenai masalah saluran kumbahan di Flat Ledang yang telah tersumbat menyebabkan air kumbahan melimpah keluar dan mengeluarkan bau busuk. Penduduk pula bertindak memotong saluran dan mengalirkannya ke parit dan longkang di sekeliling bangunan hingga terlihat najis manusia di situ.
Keadaan ini menjejaskan keselesaan dan kehidupan harian 269 keluarga yang mendiami 5 buah blok bangunan.
Soalnya ialah bagaiamana mendapatkan kualiti hidup yang baik dan selesa apabila mereka berada di kawasan yang dilimpahi air kumbahan yang busuk dan meloyakan setiap hari.
Saya sedar pegawai-pegawai Majlis Bandaraya memahami masalah ini dan telah mengemukakan kertas kerja agar pembiayaan dapat dilakukan, namun kami Ahli-Ahli Majlis sendiri telah menolaknya kerana dikhuatiri menjadi satu ikutan disebabkan tanggungjawab masih terletak kepada Badan Pengurusan atau Badan Pengurusan Bersama (JMB).
Apa yang menjadi masalah besar di sini adalah apabila Badan Pengurusan tidak mempunyai cukup kewangan untuk membiayainya.
Untuk makluman Datuk Bandar dan Ahli-Ahli Majlis, Jawatankuasa Badan Pengurusan Bersama (JMB) mulai awal tahun ini telah menggerakkan usaha mengutip yuran pengurusan bulanan, namun ia masih tidak dapat mencapai sasaran kerana tidak sampai 50 peratus pemilik rumah yang membayar.
Perkara penting yang ingin disampaikan di sini ialah penduduk sedar beberapa kerosakan dan kehilangan beberapa penutup di ‘man hole’ untuk ‘inspection chamber’ atau ‘IC’ juga boleh menyebabkan masalah berkenaan. Namun, pihak pemaju iaitu Uda Land Sdn Bhd sepatutnya bertanggungjawab memperbaikinya disebabkan penduduk mengatakan saluran sistem kumbahan di Fasa 2 Bandar Baru Uda memang bermasalah. Buktinya, beberapa bulan ini terdapat 3 tempat menghadapi masalah tersumbat iaitu di Flat Ledang, Jalan Padi Huma dan Jalan Padi Malinja 7.
Saya ingin mengulangi janji pegawai-pegawai Uda Land semasa lawatan Ahli Parlimen Johor Bahru, Datuk Seri Utama Shahrir Abd Samad tempoh hari dan disaksikan oleh beberapa orang pegawai Majlis yang mengatakan pemaju bersedia untuk memperbaikinya sekiranya Majlis Bandaraya bersedia mengambilalih STP Fasa 2P ini.
Bagi saya, di sinilah penyelesaiannya apabila Majlis Bandaraya bersedia untuk mengambilalih STP ini.
Saya percaya sesuatu boleh dilakukan untuk kita mengambilalih STP yang dimaksudkan dengan sedikit pengecualian agar masalah di Flat Ledang ini tidak berpanjangan. Ingatlah bahawa mereka yang mendiami kawasan perumahan ini sejak lebih dari 20 tahun lalu adalah penduduk berpendapatan rendah yang amat memerlukan pelbagai bantuan dan bimbingan agar mereka dapat hidup selesa sebagaimana rakan-rakan lain yang berada di persekitaran Bandar Baru Uda yang begitu selesa, indah dan harmoni.
Yang Berhormat Datuk Bandar serta rakan-rakan Ahli Majlis.
Perkara kedua yang ingin saya bangkitkan di mesyuarat ini adalah masalah yang pernah saya bawa berulangkali sebelum ini samada di mesyuarat penuh atau di mesyuarat jawatankuasa iaitu mengenai penguatkuasaan mengikut Akta Jalan, Parit dan Bangunan di Bandar Baru Uda.
Saya tidak nafikan bahawa kita telah bertindak kepada mereka yang telah melakukan pelbagai kesalahan. Di dalam beberapa tindakan, biasanya kita akan mengenakan kompaun kepada mereka dan ada juga yang telah dibawa ke mahkamah untuk pendakwaan.
Segala tindakan yang telah kita lakukan tidak diketahui oleh rakyat atau orang awam di Bandar Baru Uda, seolah-olah Majlis Bandaraya sengaja memejamkan mata ke atas kesalahan yang telah mereka lakukan. Mereka hanya mengetahui bahawa pada tahun lalu, Majlis Bandaraya telah merobohkan bangunan tambahan kepunyaan Restoran Alif yang tidak mendapat kelulusan.
Saya pernah mengatakan bahawa penduduk Bandar Baru Uda memuji tindakan berani yang hanya sekali ini walaupun mereka yang memuji inipun diantaranya duduk di bawah-bawah bumbung bangunan tambahan haram di Restoran Osman, Habs dan sebagainya.
Yang Berhormat Datuk Bandar serta rakan-rakan Ahli Majlis.
Saya menyebut perkara ini kerana teramat sangat kecewa dengan apa yang telah kita lakukan. Terus terang saya katakan bahawa saya telah berulangkali dihubungi oleh pengendali restoran dan pemilik bangunan serta orang-orang tertentu yang katanya untuk berunding. Saya tetap bertegas, bukan kerana untuk mencari nama seperti beberapa orang yang pernah menuduh saya begitu, tetapi ini adalah satu amanah dan tanggungjawab yang mesti kita lakukan, bukan sahaja di dunia, bahkan di akhirat pasti kita dipersoalkan.
Saya pernah bertanya, bila lagi bangunan ini akan dirobohkan setelah 5 orang penyewanya berpindah keluar dari situ?. Sebaliknya makin banyak kerusi meja dan peniaga baru dibawa masuk serta meletakkan kemah dan bangunan di situ.
Apa yang hendak saya perkatakan apabila segala tindakan kita selama ini dipandang remeh bahkan tidak diperdulikan langsung. Lebih malang apabila mereka terus terusan melanggar segala kesalahan bukan sahaja mengikut Akta Jalan, Parit dan Bangunan tetapi juga akta-akta dan peraturan yang lain.
Sebelum ini, khemah kepunyaan salah seorang Ahli Majlis yang dikatakan tidak mempunyai kebenaran telah dirobohkan, mengapa yang ini tidak diambil tindakan?.
Apa yang patut dilakukan ialah robohkan saja bangunan bumbung di laluan awam ini kerana ia memang telah melakukan kesalahan. Kalau restoran Alif boleh, mengapa ini tidak boleh?.
Yang Berhormat Datuk Bandar serta rakan-rakan Ahli Majlis.
Perkara ketiga yang ingin saya bawa adalah mengenai pelbagai kain rentang, bunting, pelekat, paparan dan sebagainya di zon Bandar Baru Uda.
Perkara yang saya bawa ini tidak termasuk poster dan pelekat Along kerana perkara ini telah berulangkali dibangkit sehingga menjadi isu nasional.
Dalam isu ini, kawasan saya adalah diantara tempat tumpuan mereka yang ingin mendapatkan tarikan pelanggan sehingga begitu banyak paparan dan tampalan sehingga menyakitkan mata yang memandang.
Tuan-tuan boleh melihat di sekeliling jalan berdekatan bangunan Angsana, di Jalan Padi Emas, Jalan Padi Mahsuri dan berdekatan Masjid Jamek Bandar Baru Uda.
Kalaulah segala tiang-tiang lampu, telefon dan sebagainya boleh berkata-kata, tentulah ia akan mengeluh kerana tidak diberi peluang untuk tiang-tiang ini diberi cuti dan dibersihkan. Pada setiap masa, pasti ada sahaja paparan dan tempelan yang tergantung dan ditampal.
Mungkin Yang Berhormat Datuk Bandar dan rakan-rakan Ahli Majlis akan mengatakan ia adalah perkara biasa. Tetapi bagi saya ia adalah luar biasa kerana ia tidak mencerminkan apa yang kita mahukan.
Sekarang, kita boleh melihat banyak bunting yang tidak mendapat kebenaran telah dipasang di tempat yang telah saya sebutkan tadi. Kalau dahulu, saya pernah mengatakan bahawa gedung kain Jakel yang selalu melakukan kesalahan, tetapi kini ia telah diikuti oleh pihak lain yang menyebabkan kita rugi dalam konteks kewangan.
Ada juga diantara kesalahan yang dilakukan ialah mereka mendaftarkan hanya sebahagian kecil sedangkan lebih banyak paparan yang tidak didaftarkan sehingga melibatkan kerugian yang banyak.
Saya terasa malu apabila ada diantara warga bandaraya bertanya mengapa ada bunting yang telah koyak rabak kerana sudah berbulan-bulan terpasang dan ada yang berlapis-lapis, bertindih-tindih sehingga menampakkan tidak ada pengawasan dari Majlis Bandaraya.
Mengapa mereka berani melakukannya, tidak lain kerana atas kelemahan penguatkuasaan kita.
Saya ingin mengulangi cadangan supaya bagi mereka yang telah melakukan kesalahan agar diturunkan semua paparan, kompaun, beri amaran dan akhirnya tidak dibenarkan atau tidak diberi kelulusan. Ia adalah sebagai satu pengajaran kepada pihak yang lain selain menghormati undang-undang yang dikuatkuasakan.
Yang Berhormat Datuk Bandar serta rakan-rakan Ahli Majlis.
Di Zon Bandar Baru Uda terdapat beberapa buah sekolah samada sekolah menengah, sekolah kebangsaan atau sekolah agama. Diantaranya, sekolah-sekolah ini terletak berkumpul di susur Jalan Tun Abd Razak sehingga menyesebabkan kesesesakan ketika waktu puncak iaitu ketika pelajar masuk dan keluar sekolah. Sekolah-sekolah tersebut adalah Sekolah Menengah Tasek Utara, Sekolah Menengah Teknik, Sekolah Menengah Perdagangan, Sekolah Menengah Tasek Utara 2 dan Sekolah Kebangsaan Tasek Utara.
Untuk mengelakkan dari berlakunya kesesakan dan kemalangan, saya ingin mencadangkan jalan-jalan yang digunakan dapat dilebarkan dan disediakan laluan untuk pejalan kaki.
Saya dapati memang ada pejalan kaki yang sedang dibina tetapi ia tidak mencukupi terutama yang berdekatan dengan Sekolah Menengah Tasek Utara 2 dan Sekolah Kebangsaan Tasek Utara.
Oleh itu, saya ingin mencadangkan supaya kedua-dua sekolah ini diberi keutamaan disebabkan ia agak tersorok dan dikelilingi oleh belukar.
Yang Berhormat Datuk Bandar serta rakan-rakan Ahli Majlis.
Seperkara lagi yang ingin saya bawa di mesyuarat ini adalah mengenai larangan Allah SWT kepada peniaga-peniaga khususnya kaum lelaki beragama Islam yang tidak menutup perniagaannya sewaktu solat Jumaat.
Saya rasa ramai diantara kita yang pernah mendengar dan mungkin juga hafal dengan surah al-Jumaat ayat 9 yang berbunyi:
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا إِذَا نُودِي لِلصَّلَاةِ مِن يَوْمِ
الْجُمُعَةِ فَاسْعَوْا إِلَى ذِكْرِ اللَّهِ وَذَرُوا الْبَيْعَ ذَلِكُمْ
خَيْرٌ لَّكُمْ إِن كُنتُمْ تَعْلَمُونَ
Ertinya: Hai orang-orang yang beriman, apabila diseru untuk menunaikan sembahyang pada hari Jumaat, maka bersegeralah kamu kepada mengingat Allah dan tinggalkanlah jual beli. Yang demikian itu lebih baik bagimu jika kamu mengetahui.
Yang Berhormat Datuk Bandar serta rakan-rakan Ahli Majlis.
Mengapa saya membaca ayat ini. Ini adalah kerana masjid di zon saya, Masjid Jamek Bandar Baru Uda berdekatan dengan kawasan perniagaan dimana lebih 80 peratus peniaganya adalah orang-orang Islam.
Pada setiap hari Jumaat, saya dapati terdapat mereka yang tidak menunaikan solat Jumaat termasuk pekerja peniaga berkenaan. Soal samada mereka menunaikan solat atau tidak, itu merupakan soal peribadi masing-masing, walapun ada arahan dalam agama untuk mengambil tindakan kepada mereka yang tidak menunaikan solat lebih dari 3 kali berturut-turut.
Apa yang ingin saya bangkitkan di sini ialah terdapatnya pelajar sekolah yang berada di dalam premis perniagaan ini termasuk yang berada di beberapa perniagaan cyber café.
Oleh yang demikian, saya ingin mencadangkan sebagai percubaan agar dibuat satu peraturan untuk menggalakkan pekedai beragama Islam di Bandar Baru Uda menutup perniagaan sewaktu bermulanya solat Jumaat hingga selesai.
Saya yakin dan percaya bahawa ia akan mendapat sambutan kerana pada ketika ini telahpun ada beberapa perniagaan yang telah melakukannya.
Dan yang pasti ialah apabila Restoran Osman juga turut melakukannya, maka kita berjaya menutup restoran ini yang beroperasi 24 jam walaupun hanya untuk tempoh 1 ½ jam bagi seminggu.
Yang Berhormat Datuk Bandar serta rakan-rakan Ahli Majlis.
Apakah saranan kita dalam ucapan penangguhan ini akan hanya berakhir di sini?. Saya pulangkan kepada Datuk Bandar untuk menjawabnya kerana setelah 2 kali saya berucap, saya tidak tahu secara jelas apakah tindakan yang telah dilakukan. Sebagai satu contoh kecil yang sentiasa diingati oleh Ahli Majlis adalah apabila Datuk Bandar berjanji untuk membekalkan smartphone Black Barry kepada Ahli Majlis dan telah saya sentuh dalam ucapan saya pada bulan Januari lalu, tetapi tidak ada sebarang tindakan mahupun jawapan.
Yang penting adalah tindakan, ataupun sekurang-kurangnya jawapan pada perkara yang dibangkitkan di dalam ucapan penangguhan seperti hari ini, sebelumnya dan untuk masa yang akan datang.
Maaf saya pinta terutama kepada Yang Berbahagia Datuk Bandar sekiranya ia menyinggong atau menyakitkan.
Wassallam.