Thursday, January 28, 2010

UCPAN SAYA DALAM MESYUARAT PENUH HARI INI


.

Basmallah, salam dan selamat sejahtera.


Yang Berbahagia Tuan Haji Mohd Jaafar bin Awang, Datuk Bandar Majlis Bandaraya Johor Bahru, Puan Ketua Whip dan Timbalan Ketua Whip, Rakan-Rakan Ahli Majlis, YB Encik Mok Chek Hau (ADUN Stulang), Pemerhati-Pemerhati Majlis, Puan Timbalan Setiausaha Majlis, Ketua-Ketua Jabatan, Ahli Ex-Officio dan semua yang hadir di dewan ini.


Terlebih dahulu, saya ingin mengucapkan kesyukuran kehadrat Allah swt kerana dengan limpah kurnianya dapat kita bersama-sama dalam mesyuarat penuh hari ini. Saya juga ingin mengucapkan terima kasih kepada rakan-rakan Ahli Majlis yang telah memberi peluang untuk saya berucap bagi kali kedua pada penggal perlantikan ini.


Hari ini, saya terlalu gembira kerana kalau pada 2 Julai tahun lalu, di dalam ucapan sulung saya, hanya saya seorang menggunakan komputer riba yang dibekalkan oleh pentadbiran Majlis. Ketika menggunakannya, saya ingin menunjukkan bahawa ia adalah satu keperluan kepada kita semua. Dan ucapan saya juga berkisar kepada beberapa keperluan penggunaan IT atau teknologi maklumat yang perlu dibuat penambahbaikan di Majlis Bandaraya Johor Bahru.


Alhamdullilah, hari ini, untuk julung kalinya, semua rakan-rakan saya Ahli Majlis telah membawa bersama komputer riba untuk dimanfaatkan.


Kita juga sepatutnya merasa bangga kerana setiap mesyuarat penuh seperti yang dijalankan sekarang ini boleh dilihat atau dilayari melalui laman web MBJB. Saya diberi makluman, Majlis Bandaraya Johor Bahru adalah satu-satunya PBT di Negara kita yang menyiadakan perkhidmatan ini. Bahkan Dewan Undangan Negeri Johor yang telah berpindah ke bangunan baru di Nusa Jaya yang begitu canggih pun masih tidak dapat menggunakan kemudahan seperti yang kita adakan.


Begitupun, kejayaan ini akan lebih manis sekiranya rakaman siaran ini dapat dilihat semula melalui utube dan sebagainya. Begitu juga dengan rakaman bertulis mesyuarat ini dapat dibaca oleh pelayar internet dalam folder arkib sebagaimana kita dapat melihat vabertim atau penyata rasmi Parlimen Negara kita sejak 11 September 1959.


Seperkara lagi yang ingin saya sebutkan di sini ialah, difahamkan kita adalah antara 5 PBT yang telah diminta oleh KPKT untuk menyediakan perkhidmatan OSC Online. Ini menunjukkan kepercayaan Kerajaan kepada perkhidmatan yang telah kita jalankan khususnya dalam bidang IT.


Sehubungan dengan itu, saya ingin mengucapkan syabas dan setinggi tahniah atas kejayaan pengurusan Majlis khususnya Bahagian Teknologi Maklumat yang telah berjaya melaksanakan beberapa penambahbaikan.


Walau bagaimanapun, saya masih merasa sedikit kecewa kerana cadangan saya agar Majlis mewujudkan radio internet masih belum dapat dilaksanakan. Saya berharap cadangan ini dapat diambil perhatian dan tindakan kerana ia akan dapat menyebarluaskan segala maklumat serta mendapat maklumbalas dari wargakota demi kebaikan bersama.


Sebagai pengguna internet, saya begitu berharap Majlis ini akan dapat merealisasikannya sebagai media broadcasting beroriantasikan pendidikan. Ia adalah salah satu kaedah untuk menarik perhatian pengguna internet dengan maklumat-maklumat terkini serta sangat memberi faedah dan berguna.


Perbelanjaan untuknya tidaklah begitu besar dan soal staffing juga sepatutnya tidak bermasalah kerana hanya memerlukan beberapa orang kakitangan sahaja. Kita juga mempunyai bebrapa orang kakitangan yang berkemampuan dan berkebolehan untuk menjadi DJ kerana ada diantara mereka yang mempunyai suara komersil. Mereka juga tidak bertugas sepenuh masa kerana pada sebahagian dari waktu kita boleh menggunakan sistem auto samada untuk memutarkan lagu-lagu atau makluman yang telah dirakamkan.


Dalam konteks ini juga, saya percaya Yang Berbahagia Datuk Bandar amat peka dengan keperluan teknologi maklumat. Dengan sebab itu, beliau telah mendedahkan Ahli Majlis dengan kursus IT dan pernah berjanji pada bulan Novermber lalu untuk membekalkan smartphone Black Barry kepada kami semua Ahli Majlis MBJB. Saya difahamkan kertas kerja telahpun disiapkan, tetapi kenapa mesti dikeluarkan?. Kita kena berpegang pada janji.


Saya percaya, penggunaan internet sebagai satu agen perubahan akan membolehkan pelbagai urusan dijalankan secara digital dan ia mempunyai implikasi yang besar terhadap proses pembandaran pada masa akan datang.


Yang Berbahagia Datuk Bandar, Ahli-Ahli Yang Berhormat, tuan-tuan dan puan-puan yang dihormati sekelian.


Pada hari ini, saya akan menimbulkan bberapa perkara yang berkaitan dengan kelekaan dan kelemahan kita menjalankan urustadbir sehingga kelemahan ini dimanipulasi oleh mereka yang ingin mengambil kesempatan atas kelemahan tersebut.


Pada akhir bulan November tahun lalu, sebuah restoran di Jalan Pandan Satu, Stulang yang sedang di peringkat akhir pengubahan bangunan telah diletupkan oleh individu yang tidak dikenali.


Peristiwa ini telah mengejutkan banyak pihak. Mengikut laporan akhbar, Ketua Polis Johor telah menyatakan bahawa kejadian tersebut adalah berpunca dari persaingan perniagaan yang cuba menyekat restoran tersebut untuk beroperasi sementara pemiliknya pula menyatakan bahawa ia mungkin berpunca dari dengki hati.


Saya menyebut perkara ini bukanlah untuk mencari sebab atau siapa yang mengkhianatinya. Saya tidak berminat tentangnya, biarlah pihak Polis atau pihak yang berwajib menyelesaikannya. Apa yang menarik perhatian saya sebagai seorang Ahli Majlis dan mungkin oleh warga kota yang prihatin adalah kerana premis yang sedang dibuat renovasi atau pengubahelokan ini telah mendatangkan beberapa persoalan.


Pertamanya, adakah pemilik bangunan ini telah membuat permohonan atau kelulusan untuk membuat renovasi?. Kalau telah mendapat kelulusan, mengapa terdapat main paip SAJ berada di atas lantai dan di bawah bumbung bangunan tambahan?.


Kedua, adakah pemilik bangunan atau penyewanya telah membuat permohonan atau telah mendapat kelulusan untuk menjalankan perniagaan?. Seingatan saya sebagai Ahli Jawatankuasa Pelesenan, tidak pernah melihat dan meluluskan permohonan ini.


Soalnya ialah, beberapa hari lalu, saya telah menjengah ke premis tersebut dan mendapati ia telah mula menjalankan operasi perniagaan makanan 24 jam. Jangan terkejut jika saya katakan, premis perniagaan ini boleh menampung tidak kurang dari 120 orang pada satu masa. Fikirkan bagaimana mereka menempatkan kerusi meja sebanyak ini dan bagaimana pula mereka meletakkan dapur untuk memasak?.


Persoalan yang ingin saya bangkitkan disini adalah, mengapa restoran ini yang berdekatan dengan Pusat Khidmat Wakil Rakyat DUN Stulang boleh terus beroperasi tanpa kelulusan dan kebenaran Majlis?.


Saya membangkitkan perkara ini kerana ini adalah salah satu contoh dari puluhan, ratusan atau mungkin sehingga ribuan kesalahan yang telah dilakukan oleh warga Bandaraya kita yang tidak diambil peduli oleh pentadbiran kita hingga menyebabkan pelbagai pelanggaran undang-undang.


Restoran yang saya maksudkan adalah Stulang Corner. Saya diberitahu oleh Juruwang yang bertugas bahawa restoran ini adalah kepunyaan Restoran Osman Sdn Bhd. Melalui laman webnya, syarikat ini telah mempunyai 11 cawangan dan 9 darinya berada di Majlis Bandaraya Johor Bahru. Jumlah ini tidak termasuk Restoran Stulang Corner.


Kumpulan restoran ini hanya bermula pada tahun 2006. Mengapa mereka berani membina empayar restoran India Muslim 24 jam yang bertopengkan makanan halal Islam di kawasan Majlis kita?. Mereka berani melabor wang dengan begitu banyak tanpa memperdulikan pelbagai kesalahan yang dilakukan sebagaimana Along pemberi pinjaman wang yang berani menampal poster di papan-papan tanda kendalian Majlis.


Ini semua adalah akibat kelemahan pentadbiran dan penguatkuasaan kita. Apa yang telah kita lakukan kepada mereka?. Cukupkah dengan memberi amaran dan mengenakan kompaun dan selepas itu membiarkan mereka meneruskan aktivitinya tanpa perasaan takut dan bersalah?.


Saya hairan dan pelik dalam situasi ini. Bolehkah pentadbiran Majlis memberitahu kami, berapa banyakkah kes yang dikendalikan bagi kesalahan di bawah Seksyen 70 (11, 12, 13), Akta 133, Akta Jalan Parit dan Bangunan 1974 sepanjang tahun 2009?. Berapakah pula kes yang telah dibawa ke Mahkamah Majistret Bandaraya Johor Bahru dan berapa ramaikah pesalah yang pernah dikenakan hukuman?.


Saya percaya kita terlalu lemah untuk bertindak walhal kita mempunyai cukup kekuatan untuk melakukannya. Mulai sekarang, kita mesti bangkit. Gegarkan pegawai dan kakitangan kita yang tidur lena dibuai mimpi indah. Atau apakah perlu kita meminta bantuan dari sahabat kita yang berada di Tingkat 9 Blok B Wisma Persekutuan?.


Yang Berbahagia Datuk Bandar, Ahli-Ahli Yang Berhormat, tuan-tuan dan puan-puan yang dihormati sekelian.


Ketika ini kita sedang berusaha untuk mendapatkan persijilan MS ISO 9001:2008. Mungkinkah kita berjaya?. Apakah dokumen yang ingin kita paparkan dalam proses pengawalan bangunan dan pengawalan perniagaan?.


Saya sedar hanya segelintir sahaja anggota Majlis yang menjadi anai-anai yang boleh merosakkan perancangan dan organisasi kita. Saya terdengar berita yang mengatakan ada anggota malahan pegawai Majlis menjalankan perniagaan tanpa kebenaran Majlis dan mereka ini pula didapati tidak menumpukan kepada tugas asasinya malahan ketaatsetiaannya kepada Majlis kiga boleh dipersoalkan.


Saya hanya ingin mengingatkan kepada kita semua terutama yang beragama Islam dan tidak ketinggalan kepada diri saya sendiri, dengan firman Allah dalam Surah al-Anfal ayat 27 yang bermaksud: Wahai orang-orang yang beriman!. Janganlah kamu mengkhianati (amanah) Allah dan RasulNya, dan (janganlah) kamu mengkhianati amanah-amanah kamu, sedangkan kamu mengetahui (salahnya).


Rasullalah juga menegaskan dalam perkara amanah dan khianat ini dengan keizinan Pengerusi, saya ingin membaca sabda Rasullallah saw,


إِذَا ضُيِّعَتِ اْلأَمَانَةُ فَانْتَظِرُ السَّاعَة

Yang bermaksud: Apabila amanah telah disia-siakan, tunggulah kehancurannya.


Yang Berbahagia Datuk Bandar, Ahli-Ahli Yang Berhormat. tuan-tuan dan puan-puan yang dihormati sekelian.


Sebenarnya, kita boleh melakukan tugas dan amanah dengan baik dan berkesan. Bukitnya, beberapa bulan lalu, penguatkuasa kita telah merobohkan binaan bangunan tambahan yang tidak mendapat kebenaran di Restoran Alif, Bandar Baru Uda. Saya ingin mengucapkan syabas atas tindakan ini dan ia memberi ingatan kepada pemilik bangunan lain untuk tidak melakukan kesalahan yang sama.


Begitupun, sebagai Ahli Majlis bagi Zon Bandar Baru Uda, saya ingin bertanya, mengapakah tindakan hanya kepada Restoran Alif sahaja?. Kenapa tidak pemilik lain seperti Restoran Osman di Jalan Padi Ria dan Jalan Padi Emas 4/5. Apakah mungkin kerana ia telah menjalankan perniagaan atau telah berurusan dengan pihak-pihak tertentu. Atau mungkin kerana ada diantara pemilik bangunannya adalah bekas Yang Dipertua salah sebuah majlis tempatan di negeri ini, maka kita tidak berani bertindak?.


Kita mungkin hanya berani bertindak kepada peniaga-peniaga kecil dan warung yang ditindas oleh peniaga gergasi yang telah saya nyatakan termasuk Pasaraya Mydin, Restoran Osman dan Restoran Habs.


Bilakah tindakan meroboh bangunan-bangunan tambahan termasuk bumbung penghubung diantara Pasaraya Mydin dan Restoran Habs akan dilakukan. Bumbung yang telah disalahgunakan ini telah menyebabkan peniaga warung yang tidak mempunyai kepintaran teraniaya dengan sewaan gerai yang bukan haknya sehingga RM1200 sebulan.


Saya pernah menjelaskan kepada Datuk Bandar tentang perkara ini dan pada hari ini, saya ingin mengulangi dan menegaskan sekali lagi bahawa tindakan penguatkuasaan oleh Majlis Bandaraya terutama kepada pasaraya dan restoran yang telah saya nyatakan tadi, akan mendapat sokongan dan dokongan dari warga penduduk Bandar Baru Uda bahkan oleh Ahli Majlis, Ahli Dewan Undangan Negeri serta Ahli Parlimen Johor Bahru sendiri.


Begitupun, segala usaha hendaklah juga dilakukan untuk membantu peniaga kecil yang tertindas seperti menyusun semula penempatan mereka atau memberi peluang berniaga di tempat lain sekiranya ada kekosongan.


Yang Berbahagia Datuk Bandar, Ahli-Ahli Yang Berhormat. tuan-tuan dan puan-puan yang dihormati sekelian.


Sebelum saya akhiri ucapan, saya ingin menyentuh mengenai arak dan judi.


Pada bulan ini, Majlis telah menolak rayuan pembaharuan lesen sebuah syarikat pembuat minuman keras di Zon Bandar Baru Uda dan menolak permohonan pemindahan premis jualan loteri ke Taman Anggerik.


Alhamdullillah, ketika ini di Zon Bandar Baru Uda tiada premis pembuat minuman keras dan premis menjual loteri. Bagaimanapun, yang menjadi masalah ialah jualan loteri haram yang berleluasa tanpa sebarang tindakan dari pihak yang berkuasa.


Di penempatan Bandar Baru Uda yang didiami oleh 85 peratus penduduk Islam, terdapat 5 premis yang menjual loteri haram dengan berselindung di sebalik kedai menjual telefon bimbit, kedai runcit dan kedai pembekal minyak pelincir.


Saya terpanggil untuk melaporkan perkara ini kerana perniagaan haram ini dilakukan berdekatan dengan Masjid Jamek Bandar Baru Uda, sebuah masjid yang telah diberi pengiktirafan Masjid Hadhari Pertama oleh Menteri Di Jabatan Perdana Menteri pada tahun 2008.


Disini, saya merayu agar satu tindakan bersepadu dilakukan oleh pihak yang berwajib seperti Majlis Bandaraya, Polis Diraja, Jabatan Agama dan lain-lain.


Saya percaya tindakan kita semua yang tidak membenarkan premis-premis perjuadian dan arak mempunyai kaitan dengan firman Allah swt dalam Surah al-Baqarah Ayat 219, dengan izin Pengerusi:


يَسْأَلُونَكَ عَنِ الْخَمْرِ وَالْمَيْسِرِقُلْ فِيهِمَا إِثْمٌ كَبِيرٌ وَمَنَافِعُ لِلنَّاسِ وَإِثْمُهُمَاأَكْبَرُ مِنْ نَفْعِهِمَا

Maksudnya: Mereka bertanya tentang khamar (arak) dan judi. Katakanlah, pada keduanya terdapat dosa yang besar dan beberapa manfaat bagi manusia, tetapi dosa keduanya lebih besar dari manfaatnya.


Yang Berbahagia Datuk Bandar, Ahli-Ahli Yang Berhormat. tuan-tuan dan puan-puan yang dihormati sekelian.


Saya bukan seorang ustaz yang banyak pengetahuan agama, tetapi kesedaran kita untuk tidak melakukan perkara mungkar adalah satu dakwah yang wajib kita lakukan mengikut kemampuan masing-masing, semoga kita mendapat keredhaan dan keampunan dari Allah swt.


Sekian dan harap maaf diatas segala keterlanjuran dan tutur kata, wassalamualaikum wbkth.

.